Pemuda PAS kecam penahanan aktivis bantah GST

| .

 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan pihak polis yang menahan 79 orang aktivis yang membantah cukai dan perkhidmatan (GST) di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya petang tadi.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, pihak polis sewajarnya melepaskan kesemua mereka kerana tiada kesalahan serius dilakukan mereka.

"Mereka hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak kastam berhubung GST yang dikenakan ke atas sesetengah barang.

"Tindakan menahan mereka yang ingin mendapatkan penjelasan adalah tidak wajar, bukannya kehadiran mereka itu untuk melakukan keganasan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, bantahan hari ini merupakan tanda protes berterusan rakyat terhadap pelaksanaan GST.

"Jika hari ini lebih 70 orang yang ditahan, tidak mustahil lebih ramai lagi akan ditangkap untuk membantah GST yang akan dilaksanakan pada 1 April nanti.

"Kerajaan harus mendengar rintihan serta persoalan yang dilontarkan dan bukannya terus menghukum," katanya lagi.

Kumpulan yang 'duduk dan bantah' di pejabat Kastam bermula jam 11 pagi itu menuntut pihak kastam menjawab 106 soalan mengenai GST.

Antara yang ditahan termasuk ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Pengerusi PSM, Mohd Nasir Hashim, Setiausaha agung PSM, S Arutchelvan, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan Pengarah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace