Asing dispensari: Nyawa rakyat jangan jadi taruhan

DR MUHAMMAD OMAR | .

DEWAN Pemuda PAS melihat kegagalan Kementerian Kesihatan untuk memberikan sebarang keputusan mengenai cadangan pengasingan dispensari terus membayangkan betapa Barisan Nasional tidak mempunyai kekuatan apatah lagi wawasan yang jelas dalam mentadbir negara.

Merujuk jawapan Datuk Sri S Subramaniam kepada sidang Parlimen, kerajaan seolah-olah kelu akan hala tuju dan masa depan sistem kesihatan di Malaysia.

Barangkali hanyut dibuai mimpi indah dinobatkan sebagai sistem kesihatan ketiga terbaik di dunia oleh sebuah majalah gaya hidup, Menteri Kesihatan menyatakan bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan oleh Biro Kawalan Farmasi Kebangsaan untuk meminda Akta Farmasi 1957. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengambil sebarang keputusan yang akan membebankan rakyat.

Apalah gunanya kenyataan bersifat reaktif sebegini jika ia sekadar demi menyedapkan hati rakyat semata. Walhal, jurang perbezaan di kalangan pengamal perubatan dan ahli farmasi semakin mencapah.

Lebih malang lagi, matlamat asal untuk memantapkan sistem kesihatan negara sekali lagi terumbang ambing selepas konsep 1Care juga terkubur begitu sahaja. Mangsanya adalah rakyat dan masa depan negara.

Pemuda Pas insaf bahawa perlu ada transformasi kepada sistem kesihatan negara dan berpegang kepada keyakinan bahawa ia perlu dijalankan dengan adil, telus dan saksama. Model penjagaan dan pembiayaan sistem kesihatan sekarang tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi dalam iklim ekonomi yang meruncing hari ini.

Masyarakat perlu dididik dan dibangunkan kesedaran mereka agar peka dan berdikari dalam menjaga kesihatan.

Rakyat perlu dikeluarkan dari khayalan rekaan Barisan Nasional bahawa mereka boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk menjaga tubuh badan mereka sepanjang hayat. Sedangkan, kerajaan BN tampak lebih berminat untuk memanjangkan hayat politik mereka melalui pendekatan populis yang menzalimi keperluan sebenar rakyat.

Untuk itu, Pemuda PAS mencabar Kementerian Kesihatan supaya mengambil pendekatan berjiwa besar bagi memantapkan sistem kesihatan negara dan bersikap professional dalam mendepani kepelbagaian pendapat.

Adalah dikesalkan apabila pertemuan di antara persatuan-persatuan pengamal perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi berakhir sebelum sempat ia bermula.

Natijahnya adalah polemik di media yang membuntukan. Kementerian Kesihatan seharusnya mengambil langkah proaktif untuk berterus terang dengan rakyat betapa perlunya pekhidmatan kesihatan di Malaysia menjalani perubahan bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan pada kos yang termampu oleh semua. Keterbukaan dan ketelusan; walaupun mungkin janggal pada kamus BN, perlu dititikberatkan kerana kesihatan adalah milik semua.

Realitinya hari ini adalah sistem kesihatan negara bertahan dalam keadaan yang rumit dan caca merba. Walaupun perkembangan teknologi dan kemahiran professional membawa impak kepada kualiti kehidupan pesakit namun ia gagal diurustadbir dengan efisyen.

Kerajaan lemah dalam menganalisa keperluan semasa dan seolah tidak berupaya untuk menentukan hala tuju sistem kesihatan negara. Ketirisan, kelemahan penyampaian perkhidmatan dan kepincangan tatacara perolehan serta kronisme adalah barah tahap akhir yang kronik menghidapi kerajaan hari ini.

Kualiti penjagaan kesihatan terabai kerana tiadanya perawatan yang berterusan dan bersepadu serta kurangnya penekanan kepada aspek pencegahan penyakit. Akibatnya, pesakit berulang-alik masuk keluar hospital lantaran tiadanya penjagaan kesihatan yang betul-betul berusaha untuk memahami seorang pesakit sebagai seorang manusia dan bukannya sekadar rangkaian penyakit.

Oleh itu, Pemuda PAS menyeru kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan supaya lebih bertanggungjawab dan adil dalam merencana hala tuju sistem kesihatan negara.

Setiap idea yang dimajukan perlu diperhalusi bersama semua pihak supaya ia tidak hanya menjadi polemik kedai kopi.

Wacana dan perbincangan melibatkan ahli profesional serta masyarakat awam wajar diadakan dan disemarakkan sebelum satu-satu polisi baru diketengahkan.

Usaha memantapkan perkhidmatan farmasi adalah satu langkah yang harus dipuji kerana umum sedia maklum peri pentingnya penguatkuasaan terhadap fungsi farmasi.

Namun, idea pengasingan dispensari adalah asing pada gaya hidup hari ini serta belum dijelaskan atau dibuktikan mampu untuk menangani masalah utama sistem kesihatan negara. Jangan jadi seperti tikus membaiki labu, nyawa rakyat dan masa depan negara menjadi taruhan. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Penulis ialah Pengarah Jabatan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace