Tambang naik: Jawapan Muhyiddin 'pain killer' semata-mata

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Kabinet mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangguhkan kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam kononnya mahu dilihat sebagai hero untuk membela rakyat.

Sedangkan menurut Nazir Zakaria, Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Kedah, tindakan SPAD itu ditimbulkan akibat perbuatan kerajaan sendiri yang berkeras mahu melaksanakan GST April ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membantah kenaikan tambang pengangkutan awam di saat rakyat cuak dan takut dengan keadaan tidak menentu menjelang perlaksanaan GST nanti.

"Ia hanya jawapan ‘pain killer’ semata-mata. Kenaikan tambang akan tetap berlaku dan ia tidak mampu dielakkan kerana alasan pengusaha pengangkutan awam kerana kos penyelenggaraan," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Jelasnya, kos penyelenggaraan akan terus naik kerana berlaku kenaikan harga pada alat ganti sekali gus membebankan pengusaha pengangkutan walaupun tanpa GST, akhirnya mereka terpaksa menaikkan kadar tambang.

"Pihak kami sedar para pengusaha pengangkutan awam juga sebahagaian daripada rakyat yang menerima bahana akibat GST, kejatuhan mata wang dan kesan akibat subsidi demi subsidi ditarik oleh kerajaan," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah.

Sebelum ini rakyat satu Malaysia mengeluh dan marah selepas mendengar berita tambang teksi dan kereta sewa akan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

Kenaikan tambang itu diumumkan oleh SPAD berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.

Semalam, walaupun mendapat bantahan daripada kabinet, kumpulan pemandu teksi tidak akan berganjak dan tetap akan mengenakan tambang baru sehingga mereka menerima notis rasmi daripada SPAD. – HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace