Enakmen Syariah: PAS Perak selari dengan Pusat

| .

 

IPOH: Pendirian PAS Perak selari dengan PAS Pusat berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan minggu lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, pendirian tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan secara teliti dalam mesyuarat Lajnah Politik PAS negeri dengan mengambil kira perkara termasuklah isu-isu yang sedang berbangkit.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Perak.

"Saya ingin menegaskan bahawa pendirian PAS Perak mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan adalah selari dengan keputusan dan pendirian PAS Pusat.

"PAS Perak juga akan meningkatkan usaha penerangan mengenai isu ini kepada rakyat melalui Pakatan Rakyat Perak," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, parti itu akan terus berusaha memberi kefahaman kepada seluruh rakyat termasuklah para pimpinan dalam Pakatan Rakyat.

Jelas Razman, tidak mustahil semua pihak termasuklah bukan Islam akan menerima hukuman ini sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan diberi peluang untuk mempraktikkannya bagi membuktikan keberkesanannya. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace