EKJS: Sampai bila nak bertembung, tanya Suhaizan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia hari ini meminta semua pihak memberi peluang kepada Kelantan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II 1993 (Pindaan 2015).

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata ia merupakan tuntutan agama Islam serta rakyat Kelantan dan tidak perlu bertembung mahupun bermasam muka dalam isu tersebut.

"Sampai bila kita nak bertembung ataupun bermasam muka, apa untungnya kita berkeadaan sebegini.

"Tuntutan ini sudah terlalu lama, kita semua ada buat silap dan adalah lebih baik kita berlapang dada serta bermaaf-maafan dalam mencari penyelesaian, kita buka buku baru untuk harapan rakyat Malaysia," katanya menerusi laman sosial facebook.

Sementara itu, Majlis Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) pada 19 Mac lalu telah membuat ketetapan untuk membekukan semua bentuk kerjasama dengan Pemuda PAS Malaysia.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, pembekuan kerjasama dengan Pemuda PAS itu merangkumi semua peringkat di seluruh negara.

Menurutnya, keputusan itu diambil berikutan langkah PAS Kelantan yang telah bertindak membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) baru-baru ini. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace