Bodoh: Kenyataan Nazri boleh singgung mufti

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz melabelkan individu yang membincangkan hal hudud sebagai bodoh disifatkan satu penghinaan dan tidak demokratik.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga melahirkan kecewa apabila Nazri yang mempunyai latar belakang perundangan menghalang rakyat negara ini membincangkan soal undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

"Dia juga pernah jaga hal ehwal parlimen. Takkanlah nak bincang pun tak boleh tentang perundangan Islam. Ini sangat pelik.

"Seolah-olah dia juga mahu perundangan Islam yang diajar di universiti juga dimansuhkan. Buat apa mengaji?

"Ini bermakna pelajar dan pensyarah yang mengajar perundangan Islam pun boleh dianggap bodohlah," soal Mahfuz pada sidang media di parlimen petang ini.

Malah katanya, kenyataan Nazri itu juga boleh menyinggung para mufti yang menjadi rujukan utama oleh orang Islam.

Justeru, Mahfuz menggesa Nazri menarik balik kenyataannya yang mengguris perasaan ramai.

Bekas menteri undang-undang itu berpendapat undang-undang hudud tidak akan dapat dilaksanakan di negara ini, dan mereka yang membincangkannya adalah individu yang "bodoh".

Nazri, yang juga Menteri Pelancongan berkata, undang-undang Islam itu hanya akan dapat dilaksanakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, yang mana memerlukan majoriti dua pertiga majoriti Parlimen.

"Jangan bincang sesuatu yang tidak akan berlaku, ini bodoh, sesiapa sahaja yang bincang hudud," katanya. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace