Putus dengan presiden, putuslah hubungan dengan PAS

| .

 

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat kecewa terhadap keputusan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS samalah dengan memutuskan hubungan dengan PAS.

"Tuan Guru Abdul Hadi adalah Presiden kepada keseluruhan ahli PAS, Pemuda PAS adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli PAS.

"Saya sebagai Ketua Pemuda PAS sangat kecewa dengan keputusan DAP yang mengambil keputusan sedemikian," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi, sebagai sayap kepada PAS, kekuatan parti itu bersama Pakatan Rakyat amat diharapkan.

"Bagaimana PAS boleh kuat bersama Pakatan jika tanpa Presiden kami?

"Memutuskan hubungan dengan Tuan Guru Abdul Hadi umpana memutus hubungan dengan PAS.

"Sebesar mana pun masalah pasti ada jalan penyelesaian yang boleh diselesaikan dengan cara terbaik," katanya lagi.

Beliau juga berharap agar semua pihak terutamanya rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat melihat masa hadapan demi Malaysia yang terbaik.

"Masa depan Pakatan dalam menerajui negara ini perlu diutamakan, mari kita cari titik temu bagi menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda PAS sangat optimis bahawa adanya jalan penyelesaian terhadap masalah ini, kita perlu berdamai kerana itu yang rakyat Malaysia harapkan," sambung beliau lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP malam tadi mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS kerana tidak lagi dapat dapat bekerjasama dengan Tuan Guru Abdul Hadi yang disifatkan sebagai 'tidak jujur'. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace