Henti projek ikan sturgeon bukti tuntutan PAS benar

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Pembatalan projek penternakan ikan sturgeon di Kuala Tahan, Jerantut kerana tidak diluluskan oleh Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) membuktikan tuntutan PAS dan penduduk betul, kata Andansura Rabu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang itu berkata, memang dari awal bantahan penduduk adalah berkaitan lokasi yang tidak sesuai jadi hasil daripada kajian EIA membuktikan bantahan penduduk memang berasas.

“Kita sambut baik keputusan pihak kerajaan negeri untuk memindahkan tapak projek tersebut ke kawasan lain,” katanya.

Adun Beserah itu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak meneruskan projek kontroversi itu sebaliknya dipindahkan ke lokasi baharu yang akan dikenal pasti kemudian.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Datuk Abu Bakar Harun.

Abu Bakar berkata, susulan keputusan itu, Felda yang mengendali projek tersebut mengalami sedikit kerugian memandangkan kerja-kerja awal sudah dilakukan di tapak asal.

Sebelum ini PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang menangguh atau menghentikan segera projek penternakan ikan sturgeon yang diusahakan oleh Felda Global Venture Holding (FGV) bersama sebuah syarikat dari Korea Selatan berikutan tidak melalui prosedur yang sepatutnya iaitu proses penilaian impak alam sekitar (PDE).

Desakan tersebut turut diucapkan oleh Andansura ketika berbahas dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pahang, Disember lalu.

Sebelum daripada itu penduduk sekitar Kuala Tahan turut membantah projek tersebut kerana bimbang ia bakal menyebabkan kemusnahan alam sekitar, ekosistem serta flora dan fauna di kawasan yang telahpun diwartakan sebagai Taman Negara dan Pusat Biodiversiti Negara itu.

Projek berisiko ini turut mendapat bantahan keras daripada Sahabat Alam (SAM), Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Persatuan Operator Pelancongan Taman Negara Pahang.

Dalam pada itu Andansura berkata, meskipun projek itu dibatalkan, seluas 50 ekar balak di kawasan hutan tadahan itu telah pun ditebang dan dikeluarkan di sekitar Sungai Tabung. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Share on Myspace