Rizab Selangor berjumlah RM3.4b sehingga 28 Feb

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kumpulan wang disatukan meningkat sebanyak RM226 juta dalam tempoh dua bulan menjadikan rizab negeri Selangor berjumlah RM3.4 bilion sehingga 28 Februari lalu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata simpanan yang semakin kukuh itu perlu diterjemahkan untuk manfaat rakyat bagi memastikan mereka turut sama menikmati hasil negeri.

Namun, katanya seperti yang ditegaskan berulang kali, apa maknanya kalau kerajaan negeri mencatatkan pertumbuhan yang begitu tinggi, simpanan yang kukuh tetapi tidak dapat dikongsi oleh rakyat.

“Tidak ada maknanya kerajaan dan pimpinan kaya kalau rakyat susah, sebab itulah kita lancarkan pelbagai program supaya kekayaan ini dapat dikongsi dengan rakyat Selangor,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Hijrah Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, semalam.

Beliau memaklumkan perkara peningkatan simpanan rizab itu berdasarkan Mesyuarat Tertinggi Kewangan Negeri Selangor pagi semalam.

Share on Myspace