DAP jangan cuba pecah belah PAS

DATUK DR MAHFODZ MOHAMED | .

DAP jangan cuba menusukkan jarum beracun memecah-belah kesatuan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerusi kaedah 'pecah dan perintah' apabila membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS.

DAP jangan memisahkan Datuk Seri Tuan Guru Presiden daripada PAS sedangkan PAS diketuai dan dipandu oleh Presiden sebagai ketua parti.

Keputusan Presiden adalah keputusan bersama parti termasuk dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam menerusi Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (Pindaan 2015).

Benarlah kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tindakan DAP itu adalah kebudak-budakan.

Benar juga penegasan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat bahawa memutuskan hubungan dengan Presiden PAS bererti memutuskan hubungan dengan PAS.

Dewan Ulamak PAS Pusat menasihatkan DAP agar jangan memberi peluru kepada musuh bertepuk tangan melihat pertembungan dalam Pakatan Rakyat.

Hormati pendirian PAS untuk memperjuangkan Undang-undang Jenayah Islam kerana ia bukan dasar bersama Pakatan Rakyat tetapi dasar bersendiri PAS.

Dengan memutuskan  hubungan  dengan Tuan Guru Presiden, pimpinan DAP jangan bermimpi di siang hari bahawa  ahli-ahli PAS akan menggugurkan hasrat untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana perjuangan untuk mendaulatkan Islam bukan sahaja perjuangan Tuan Guru  Presiden tetapi perjuangan yang didukung oleh seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS di semua peringkat.

Kita perlu teruskan konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dalam Pakatan Rakyat dalam isu undang-undang jenayah Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan pendirian sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden kami. - HARAKAHDAILY 25/3/2015

DATUK DR MAHFODZ MOHAMED
Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh: Rabu 25 Mac 2015 / 4 Jamadil Akhir 1436H

Share on Myspace