Bicara hudud adalah bodoh, itu kenyataan orang bodoh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kebodohan yang sebenar-benarnya ialah kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa orang yang berbicara tentang hudud adalah bodoh.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, ia memperingatkan kita dengan firman Allah perihal perilaku golongan munafikin dalam ayat 13 surah al-Baqarah.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ

"Apabila dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman, mereka membalas; adakah kami patut beriman sebagaimana orang-orang bodoh beriman? Ketahuilah merekalah sebenar-benar orang yang bodoh tetapi malangnya mereka tidak tahu."

Beliau menjelaskan bahawa undang-undang Jenayah Islam termasuk hudud, qisas dan takzir adalah undang-undang Allah, Tuhan yang mencipta Mohamed Nazri dan memberinya nyawa, jasad, makan dan minum yang dibicarakan oleh Allah dalam al-Quran.

"Adakah Allah itu bodoh pada perkiraan Datuk Seri? Memperbodohkan hukum-hakam Allah adalah memperbodohkan Allah. Ia tindakan yang boleh membawa kepada kekufuran," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Justeru, beliau menasihati Nazri selaku seorang muslim agar segera bertaubat kepada Allah kerana tidak ada manusia yang sempurna.

Katanya, kesilapan dan keterlanjuran masih boleh diperbetulkan.

"Ashaab al-Samahah, Mufti-mufti dan ahli agama dalam kerajaan juga perlu segera menasihati Datuk Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz kerana beliau adalah seorang menteri kerajaan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace