Mengapa sekolah agama rakyat masih dipinggir?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menambahkan subjek di dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi memenuhi tuntutan di masa hadapan.

Katanya, kementerian boleh mengembangkan lagi subjek STAM kepada bidang yang lebih luas seperti subjek ideologi.

"Kini STAM sudah ada subjek tauhid, mantik dan banyak lagi, kalau boleh kembangkan kepada subjek ideologi," katanya dalam soalan tambahan di dewan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kementerian seolah-olah meminggirkan pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) apabila jumlah mereka yang mengambil STAM agak sedikit berbanding Sekolah Agama Negeri.

"Berdasarkan kenyataan pengarah pendidikan, hanya 7.7 peratus pelajar SAR jumlah ini terlalu kecil berbanding Sekolah Agama Negeri. Mengapa jumlah ini terlalu jauh?

"Adakah peminggiran SAR ini kerana faktor pembangunan dan kemudahan?" soalnya.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mengakui faktor kemudahan guru dan prasarana antara yang mempengaruhi pelajar untuk ke SAR.

"Lebih ramai pelajar yakin mengikuti pembelajaran di Sekolah Agama Negeri," katanya.

Katanya, pihak kementerian akan menyemak semula kurikulum ini dan menterjemahkan semula di dalam kurikulum kebangsaan pada tahun hadapan," katanya.

Nasrudin dalam soalan asalnya meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk meningkatkan penyertaan pelajar SAR, sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan untuk mengambil STAM. – HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace