Semua pihak saling bergantung dalam Pakatan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Sekiranya Pakatan Rakyat berpecah bukan hanya PAS sahaja yang rugi, sebaliknya semua parti-parti dalam gabungan juga akan mengalami nasib sama.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, lagi pun belum tentu Pulau Pinang akan dapat dipertahankan DAP sekiranya Pakatan Rakyat berpecah.

“DAP kena ingat belum tentu kerajaan di Pulau Pinang dapat dipertahankan,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas mesyuarat Exco hari ini.

Semalam, DAP mengumum memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng menyifatkan Ustaz Abdul Hadi tidak menepati janji.

DAP mengkritik PAS ekoran persidangan Dun Kelantan meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II yang digubal pada 1993.

Enakmen itu sekarang dikenali Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) pindaan 2015.

Mohd Amar berkata tindakan memutuskan hubungan dengan Presiden sama seperti memutuskan hubungan dengan PAS.

“Jangan hanya ingat PAS bergantung kepada pihak lain sahaja, sebaliknya semua pihak saling bergantung antara satu sama lain dalam Pakatan Rakyat.

“Setiap orang mesti bertindak bijak dalam menangani isu Kanun Jenayah Syariah. Andainya DAP bertindak silap, semuanya akan rugi,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace