Menteri tidak tahu guna kuasa kawal harga barang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak pernah menggunakan kuasanya sebagaimana diperuntukan di dalam Akta Kawalan Harga dan Percatutan 2011, dakwa Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Jelas Rafizi, menteri boleh menggunakan perkara 15 akta ini untuk mengenakan tindakan kepada peniaga yang mengambil keuntungan yang tidak munasabah.

"Sebelum ini kementerian kata peniaga Cina ambil keuntungan lebih dan tidak mahu turunkan harga.

"Kenapa kementerian dan menteri tidak guna kuasanya untuk ambil tindakan kepada mereka?," soal Rafizi ketika mencelah dalam sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sebaliknya Ahmad Bashah menegaskan pasukan penguatkuasa sudah memadai bagi menjalankan pemantauan terhadap para peniaga yang mengaut keuntungan luar biasa.

"Kita guna penguatkuasa. Cukup dengan penguatkuasa. Kita guna pegawai ini," kata Ahmad Bashah.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya juga memerlukan aduan daripada orang ramai bagi memudahkan mereka menjalankan penguatkuasaan.

Rafizi sekali lagi membidas menteri terbabit sambil menegaskan tugas penguatkuasa tidak lebih kepada mendenda peniaga yang tidak meletakkan tanda harga.

"Saya tanya khusus kawalan oleh menteri sendiri. Kenapa tidak guna kuasa menteri. 100 kali operasi pun harga barang tidak juga turun," tegas Rafizi. – HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace