Jumpa Datuk Bandar, Pemuda PAS bawa 3 dilema warga KL

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP mencatat sejarah pada hari ini apabila menjadi parti politik pembangkang pertama yang mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kesepuluh, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Kunjungan hormat dan ramah mesra DPPWP bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur ini telah disambut dengan mesra dan santai daripada pihak Datuk Bandar sendiri.

Rombongan seramai 7 orang pemuda PAS telah diketuai oleh Khairil Nizam Khirudin selaku Ketua Pemuda dan diiringi Nurul Islam sebagai Timbalan Ketua Pemuda dan 5 orang exco yang lain.

Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam bermula jam 12.15 tengah hari ini berjaya menghasilkan pelbagai percambahan idea, info dan pandangan.

Dalam pertemuan tersebut, DPPWP telah membawa tiga isu penting yang menjadi dilema warga Kuala Lumpur iaitu isu pengurusan keselamatan kecerunan tanah, isu pemilikan tanah dan perumahan dan isu kesesakan trafik.

Di dalam isu pengurusan keselamatan kecerunan tanah, Nurul Islam telah membangkitkan mengenai keselamatan kecerunan tanah yang terlibat di hampir kesemua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.

Di samping itu juga, beliau yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS WP juga membangkitkan berkenaan peta bencana yang pernah diwar-warkan oleh pihak DBKL.

Turut dibangkitkan dalam isu ini ialah pembinaan-pembinaan di sekitar Kuala Lumpur perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan terutamanya yang tertakluk kepada Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi dan Cerun Wilayah Persekutuan 2010, serta Sistem Aplikasi Hazard and Risk Map.

Nurul Islam juga membangkitkan isu status tanah rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.

Ini kerana semakin banyak tanah rizab Melayu yang telah bertukar statusnya kepada tanah komersial. Bukan itu sahaja, dianggarkan 21.9 peratus tanah di Kuala Lumpur ini dimilki oleh kerajaan dan 1 peratus pemilikan persendirian manakala selebihnya dimiliki pihak lain.

Justeru, DPPWP meminta DBKL untuk mengemaskini jumlah sebenar keluasan tanah rizab Melayu dan pemilikan bumiputera di Kuala Lumpur ini.

Di dalam isu pemilikan tanah ini juga, DPPWP mempersoalkan peranan DBKL dalam mengekang lambakan pasaran hartanah kediaman mewah bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki kediaman pertama mereka di Kuala Lumpur.

Isu kesesakan trafik telah dibangkitkan oleh Ketua Penerangan DPPWP iaitu Mior Isfandy. Bagi DPPWP, DBKL harus memperkasakan pengangkutan awam berasaskan rel memandangkan lebih kurang 3 juta kenderaan persendirian keluar masuk Kuala Lumpur setiap hari.

Selain itu, DPPWP juga meminta DBKL menghadkan pergantungan pertumbuhan pembinaan hartanah baru terutamanya jenis pejabat, komersial dan hotel dari semasa ke semasa. Ianya secara tidak langsung mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke pusat bandar.

Ketiga-tiga isu yang dibawa oleh DPPWP ini diterima dan dipandang positif oleh pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau juga berharap agar semua pihak bersama-sama memberikan idea dalam membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020.- HARAKAHDAILY 25/3/2015

Share on Myspace