EKJS II: Hishammuddin kena belajar dengan Datuk Pa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya diam daripada memberikan komen berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015.

"Hishammuddin lebih baik diam daripada bercakap tentang usaha PAS dan Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan enakmen tersebut," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Katanya, kalau Hishammuddin terus bercakap mengenai perkara itu, maka lebih banyak menampakkan kejahilan beliau tentang perundangan Islam walapun mempunyai latar belakang undang-undang.

"Beliau tak ada usaha sedikitpun untuk memahami aspek perundangan Islam," ujarnya kepada Harakahdaily.
 
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Hishammuddin bahawa kemelut politik antara PAS dengan rakan seperjuangan dalam pakatan berhubung hukum hudud membuktikan perjuangan mereka selama ini hanya bertunjangkan keselesaan daripada segi politik.

"Hari ini apabila diuji dengan perkara pokok seperti hudud, jelas persefahaman mereka tidak begitu mendalam dan akhirnya rakyat sendiri dapat melihat mereka mempunyai perjuangan berbeza," katanya yang juga Menteri Pertahanan kepada media selepas merasmikan majlis penyerahan kunci rumah keluarga Desa Angkatan Tentera Darat Sungai Panching di Kuantan, semalam.

"Jadi saya nasihat dia belajar daripada Datuk Mustapa Mohamed (Pengerusi Umno Kelantan) dan Datuk Md Alwi Che Ahmad (Ketua Penerangan Umno Kelantan) yang lebih memahami soal perundangan yang berkait dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II," kata Mustafa lagi.

Ini, kerana tambah beliau kedua-duanya (Mustapa - Adun Air Lanas dan Alwi - Adun Kok Lanas) dan semua Adun BN Kelantan menyokong enakmen tersebut apabila dibentangkan pada persidangan Dun, baru-baru ini.

Malah, katanya kedua-dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walaupun tiada latar belakang undang-undang tetapi memahami hasrat Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan enakmen berkenaan dan mereka tidak menentang.

"Kenapa Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno masih tidak faham?" tanya beliau. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace