Apa motif provokatif bersiri DAP kepada Presiden PAS?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya jika Pakatan Rakyat (PR) masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional.

Menurutnya, sejak isu MB Selangor dan Kajang Move secara bersiri DAP melancarkan serangan provokatif khususnya terhadap peribadi Presiden PAS.

Tambahnya, tuduhan khianat, membelakangi PR dan seumpamanya meniti di bibir bukan seorang dalam kalangan pimpinan DAP.

"Terakhirnya pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS?" ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun peliknya, lata beliau tindakan bersendiri PKR dalam Kajang Move tidak pula dikatakan membelakangi PR dan memecat Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuangnya daripada jawatan MB tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat.

"Lim Kit Siang pula mencadangkan pakatan dengan BN atas tema 'save Malaysia'. Tidakkah itu pengkhianatan terhadap Dasar Bersama PR?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Menurutnya, lebih ketara apabila isu undang-undang jenayah Islam (UUJI) dibangkitkan DAP telah memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan UUJI sehingga melupakan prinsip bersama PR iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.

Jelasya, perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam.

Beliau berkta, kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam.

Tambahnya, begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihan raya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam.

"Saya sangat bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina Presiden PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan UUJI boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli-ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihan raya," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace