EKJS II melangkaui sempadan politik

| .

KUALA LUMPUR: Kerjasama kerajaan Kelantan dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) hanyalah bersifat 'Kerjasama G to G', bukan kerjasama antara PAS dan Umno BN.

Ketua Dewan MUslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan, kepatuhan kepada syariat Allah adalah tuntutan aqidah, tidak timbul sama sekali kerjasama dengan parti umno.

"Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ini telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan melalui proses demokrasi dan mendapat sokongan penuh daripada seluruh ahli dewan.

Perjuangan EKJS II ini adalah janji dalam Manifesto PAS sebelum 1990 lagi dan sebelum wujudnya Pakatan Rakyat," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahan pula kata beliau, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah menerima pakai prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju' (agree to disagree) dalam beberapa perkara antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berharap pimpinan Pakatan Rakyat khususnya DAP dapat menghormati kehendak rakyat Kelantan dan meraikan pimpinan PAS sebagaimana parti Islam itu wajar menyantuni pilihan dan pandangan berbeza pimpinan DAP sebagai rakan sepakatan.

"Pakatan Rakyat perlu jelas kita mungkin serumpun tetapi bukan sepohon; strategi dan adakalanya pandangan dan sikap kita terhadap sesuatu itu berbeza dan bertentangan walaupun musuh kita hakikatnya adalah sama iaitu UMNO Barisan Nasional.

"Nama dan batang tubuh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah entiti kepada seorang presiden kepada sebuah parti," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. 

Justeru ujarnya, sebarang kenyataan mengenainya sama ada untuk menjalin atau memutuskan hubungan akan memberikan kesan yang sangat besar kepada gerakan yang diterajui olehnya.

Beliau juga meminta Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bersidang segera sebelum sesuatu keputusan dan kenyataan diberikan.

"Kita yakni Pakatan Rakyat adalah harapan terakhir rakyat untuk politik baharu, politik yang lebih mantap serta berprinsip khususnya pada saat cemas bilamana segala impian milik rakyat digadai , dicabul dan diambil sewenang-wenangnya oleh regim pemerintah yang berkuasa," katanya. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace