Hudud: Hati-hati portal berita tertentu, pesan Dr Asri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Kita hendaklah berhati-hati portal portal berita tertentu yang cuba menimbulkan permusuhan dan salah tafsiran terhadap isu ini," kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan dalam facebooknya bertajuk Tentang Isu Hudud Yang 'Dipermainkan' sebagaimana di bawah.

1. Umat Islam wajib menghormati hasrat baik jika ada pihak yang ikhlas untuk mengkanunkan hudud yang adil, saksama lagi MEMENUHI maqasid syariah.

2. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan satu usaha yang bersejarah dalam negara ini. Ia telah melalui proses yang demokratik di DUN Kelantan, maka kita hendaklah hormati proses yang dibuat secara berperaturan itu.

3. Hasrat ingin melaksanakan ajaran al-Quran dan al-Sunnah mana-mana pihak hendaklah dihormati. Peranan kita memberikan pandangan balas dan menolong hasrat baik seperti itu agar kebaikan atau niat baik benar-benar mencapai maksudnya.

4. HARAM muslim menggabungkan diri dalam apa-apa aktiviti yang bertujuan menghina ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

5. Oleh kerana Enakmen Hudud Kelantan itu mempunyai banyak pandangan dan ijtihad yang dipilih oleh pihak penggubal, ia mungkin selaras, juga mungkin tidak selaras dengan maqasid syariah berkaitan hudud dalam Islam terutama pada zaman ini, maka masa yang cukup hendaklah diberikan untuk enakmen itu DISEMAK oleh pakar-pakar MAQASID syariah di pelbagai peringkat. Kegagalan perlaksanaan hudud di beberapa negara sebelum ini diharap tidak berulang di sini.

6. Sikap majoriti umat Islam Malaysia hari ini yang menghormati undang-undang itu secara dasarnya, merupakan satu sikap yang baik. Ini berbeza dengan keadaan era 80an dahulu. Kita patut bersyukur dengan sikap ini.

7. Kita hendaklah berhati-hati portal portal berita tertentu yang cuba menimbulkan permusuhan dan salah tafsiran terhadap isu ini. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace