NGO lapor polis pihak pertikai EKJS

MOHD NOR YAHYA | .

PENGKALAN CHEPA: Tindakan pihak tertentu termasuk parti politik yang mempertikaikan pindaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan dianggap sebagai menghina titah Sultan Kelantan.

Malah mereka tanpa sedar dianggap mempersendakan kesucian agama Islam.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Abdul Razak Abas berkata, baginda Sultan merupakan ketua agama Islam di Kelantan.

“Kami amat kesal di atas penghinaan tersebut. Kami bimbang kemuliaan institusi Diraja di Malaysia akan pudar kerada ada pihak yang cuba mempertikainya,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap pihak terbabit petang semalam.

Laporan polis dibuat Setiausaha Kehormat NGO terbabit Mohd Adnan Mohd Zain. Turut hadir Ketua Biro Agamanya Dr Mohd Azhar Abdullah.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Minggu lepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II (1993) dengan sokongan semua ahli dewan.

Ekoran kelulusan pindaan tersebut ada pihak mempertikaikan usaha yang dilakukan kerajaan Kelantan kerana menganggap bertentangan dengan perlembagaan.

Abdul Razak berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat palsu mengenai KJS.

Sementara itu Ketua Penerangan Pekida Malaysia Cawangan Kelantan, Mohd Kori Mohd Noor berkata pihaknya berdiri teguh di belakang kerajaan negeri bagi memastikan KJS dapat dilaksanakan.

Katanya amat tidak wajar pihak yang bukan beragama Islam cuba mempertikaikan perundangan tersebut kerana ia tidak membabitkan mereka. – HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace