PAS cadang badan khas selesai kemelut Selatan Thai

| .

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar mempersoal tindakan kerajaan Malaysia selaku Pengerusi Asean dalam membantu menyelesaikan kemelut di Pattani Selatan Thai.

Kamarudin dalam soalan tambahan ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, masalah yang timbul di Selatan Thailand sedikit sebanyak memberi kesan kepada negara ini khususnya negeri di sempadan negara tersebut.

Malangnya kata beliau, cara Malaysia menangani masalah di Thailand berbeza di Selatan Filipina walaupun suasana di Thailand lebih buruk daripada Filipina.

"Pemimpin dan pegawai Malaysia di Thailand tidak berkesan dalam membantu rakyat Thailand berbanding di Filipina.

"Kalau kita tidak sokong usaha rakyat Selatan Thai untuk merdeka, pa yang boleh kita lakukan? Kita kena mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mereka,"katanya.

Tegasnya, kerajaan perlu ada satu badan khusus untuk Selatan Thailand seperti mana kerajaan mempunyai fasilitator di Mindanao Selatan Filipina.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainudin mengakui sukar untuk membantu menangani kemelut di Selatan Thailand kerana kerajaannya mengalami keadaan yang kucar kacir.

"Kita buat konsep yang sama antara Thailand dan Filipina tetapi keadaan di Thailand menyebabkan masalah berbangkit dan tidak menjadi agenda utama kerajaan.

"Thailand bersetuju Malaysia satu satunya fasilitatornya dan usaha ini sudah bermula tetapi sikap kerajaan Thailand menyebabkan perkara ini tertangguh dan bersambung-sambung,"katanya.

Malah katanya, Malaysia tidak mahu negara jirannya menghadapi masalah ini dan berjanji akan terus memberi kerjasama baik untuk kesejahteraan dua-dua negara.- HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace