Lembu korban: Khir Toyo insaf, minta maaf pada Khalid

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, defendan Dr Khir Toyo telah membaca ucapan maaf di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi," ujar bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan

Menurutnya, Khir telah insaf mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang melibatkan pembelian kereta Lexus dan agihan lembu korban yang boleh mencemarkan integriti beliau selaku Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini telah merekodkan keputusan saya selaku plaintif dan Dr Mohamad Khir Toyo selaku defendan untuk menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah seperti yang telah dipersetujui menerusi proses mediasi pada 4 Mac 2015 yang lalu.

Alhamdulillah, defendan Dr Khir Toyo telah membaca ucapan maaf di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi di mana beliau telah insaf mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang melibatkan pembelian kereta Lexus dan agihan lembu korban yang boleh mencemarkan integriti saya selaku Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Permohonan maaf ini saya percaya telah dilakukan secara tulus dan saya dengan ikhlas menerimanya dengan kepercayaan ia memadai untuk menebus integriti dan maruah saya sebagai pemimpin dan seorang Muslim. Tambah pula, saya tidak mahu mahkamah membazir masa waktu, tenaga serta pelbagai sumber atas sesuatu yang tiada kaitan dengan pembangunan negara, agama dan bangsa.

Penyelesaian yang tidak melibatkan balasan ganti rugi kewangan ini saya ambil kerana mahu menerapkan nilai-nilai kemanusiaan yang jauh lebih bermakna berbanding wang ringgit.

Saya berharap kes ini dapat memberi pengajaran kepada masyarakat khususnya kepada ahli politik agar sentiasa berwaspada untuk tidak mengeluarkan sebarang tuduhan tanpa asas dan fakta yang betul.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini sudah pasti hanya akan mengalihkan fokus, tenaga dan usaha pemimpin yang sepatutnya bekerja keras untuk pembangunan negeri ini dan rakyat.

Saya percaya Malaysia perlu berubah dari budaya politik memfitnah yang hanya akan mencemarkan sistem demokrasi serta memperlekehkan kebijaksanaan rakyat dalam menilai antara benar dan salah. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace