Penerbitan buku teks wajar diserah kepada DBP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak supaya kerja-kerja percetakan buku teks sekolah menengah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar dan Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia, Datuk Badruddin Abu Bakar dalam kenyataan media.

Hal ini, kata mereka kerana terdapat banyak rungutan berhubung kesilapan dan kesalahan yang diutarakan daripada masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap kualiti buku teks yang telah dicetak.

Berikut kenyataan penuh mereka.

MTEM dan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak supaya kerja-kerja percetakan buku teks Sekolah Menengah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hal ini kerana terdapat banyak rungutan berhubung kesilapan dan kesalahan yang diutarakan daripada masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap kualiti buku teks yang telah dicetak.

MTEM memandang serius kesalahan ini yang melibatkan penerbit dan pencetak buku swasta terdahulu dan ia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pelajar dan industri amnya.

Kesalahan melibatkan tatabahasa, nahu, susun atur kandungan serta ejaan tidak sewajarnya berlaku. Begitu juga dengan perihal kesalahan fakta dalam sejarah, istilah, dan jawapan yang tidak selari dengan soalan nyata sekali tidak boleh diterima didalam era ini.

Pengamatan MTEM dan PPPMM turut mendapati banyaknya kandungan yang tidak bersesuaian dengan budaya dan moral rakyat Malaysia.

Nyata sekali kesalahan yang banyak ini tidak sewajarnya berlaku memandangkan buku teks adalah rujukan utama pelajar dan guru di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekolah.  

Bagi mengelakkan kesalahan ini daripada terus berulang, MTEM mencadangkan supaya kerja-kerja percetakan buku teks sekolah menengah dan sekolah rendah ini diberi sepenuhnya kepada pihak DBP.

Tidak dinafikan lagi bahawa, DBP mempunyai kredibiliti serta mempunyai kepakaran dalam menghasilkan buku teks yang berkualiti dan memenuhi kehendak pengguna.

Tahun lalu, DBP telah berjaya mengambil alih tugas pencetakan buku teks sekolah rendah, setelah syarikat konsesi yang dilantik telah gagal melaksanakan tugas yang diberikan.

Peranan yang dilaksanakan oleh DBP bukan sahaja dapat dilakukan dengan cemerlang, malah DBP tidak mengabaikan tanggungjawab sosial agensi dalam memastikan isi kandungan buku teks yang tepat dan pemerolehan yang melibatkan syarikat bumiputera sebagaimana yang terkandung dalam akta di bawah DBP.

Sebagai sebuah agensi kerajaan, DBP tidak dapat melaksanakan usaha tersebut sendirian.

Sehubungan itu, MTEM dan PPPMM dengan kekuatan pemain industri melebihi 100 syarikat bumiputera dan nilai pelaburan dianggar sekitar RM1 billion akan sentiasa menyokong usaha DBP sejajar dengan objektifnya berkaitan bahasa, mencetak dan menerbit dan ejaan bersesuaian dengan wawasannya “menjadi peneraju utama pengembangan bahasa dan persuratan Melayu dalam pembinaan negara bangsa”.   

Kami sentiasa bersama-sama DBP mencapai matlamatnya menghasilkan karya bermutu, relevan dan mementingkan kualiti berbanding keuntungan. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace