MP BN kecewa menteri cuti ketika bah besar

| .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen BN melahirkan rasa kecewa apabila ramai menteri bercuti ketika negara sedang menghadapi banjir luar biasa pada penghujung Disember tahun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika banjir sedang memuncak pada 24 Disember beliau menghubungi beberapa orang menteri bagi mendapatkan kemudahan aset untuk membantu mangsa banjir.

"Di saat banjir sedang memuncak saya minta helikopter sampai sudah pun tak dapat. Banyak prosedur. Untuk aset tentera mesti dapat arahan daripada tentera sedangkan waktu itu banjir. Saya ada kawan di agensi ini mereka pun tidak boleh tolong.

"Saya 'call' menteri, pula ramai yang cuti,"celah beliau ketika sesi penggulungan di Jabatan Perdana Menteri oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Annuar turut membidas menteri agar tidak melonggokkan cuti mereka ke Disember kerana ia akan menimbulkan masalah bagi mendapatkan pertolongan apabila banjir melanda.

"Hujung tahun bulan 12 semua menteri cuti timbul masalah bila keadaan banjir berlaku,"katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencadangkan agar agensi kerajaan bersiap sedia setiap akhir tahun yang merupakan musim banjir di negeri Pantai Timur.

"Apa kata tiap-tiap tahun kerajaan bersiap sedia dengan tentera dan segala kelengkapan sebelum banjir berlaku. Jangan harapkan kerajaan negeri sahaja. Tiap-tiap tahunkan banjir,"katanya. - HARAKAHDAILY 26/3/2015

Share on Myspace