Undang-undang jenayah Malaysia perlukan reformasi

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

HAMPIR genap 58 tahun sejak kemerdekaan negara pada 1957, Malaysia menjadikan undang-undang jenayah yang bersumberkan Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code) sebagai undang-undang yang mengawal kesalahan yang dilakukan terhadap masyarakat atau tingkah laku antisosial yang merbahaya dan bertentangan dengan nilai moral masyarakat serta melanggar kepentingan sosial dan awam.

Namun begitu, undang-undang yang terpakai sekian lama ini dilihat dan terbukti tidak dapat mencegah dan membasmi kegiatan jenayah daripada terus berlaku seiring dengan perkembangan sosial masyarakat dan kepesatan pembangunan negara itu sendiri atau dengan bahasa yang lebih mudah ialah – semakin maju negara, semakin giat dan berleluasa jenayah berlaku.

Hakikat ini diakui sendiri oleh statistik polis yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang melaporkan bahawa jumlah jenayah kekerasan yang meliputi kes bunuh, rogol, samun dan mencederakan bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 meningkat kepada 15,098 kes daripada 14,811 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2012.

Jika dibandingkan antara tahun 2012 dan 2013 pula, kes bunuh meningkat kepada 627 kes daripada 602 kes, kes samun bersenjata api meningkat kepada 21 kes daripada 17 kes, dan samun tanpa senjata api meningkat kepada 3,565 kes daripada 3,275 kes. Bagi kes curi kereta dan kenderaan komersial pula, masing-masing meningkat daripada 16,196 kepada 16,733 dan daripada 4,526 kepada 4,981.

Merujuk kepada data-data dan situasi ini, tidakkah wajar undang-undang yang sedia ada ini disemak semula?

Bukankah telah jelas bahawa undang-undang hari ini tidak berupaya untuk membasmi dan mencegah jenayah?

Harus kita akui bahawa sebenarnya kita sangat memerlukan sebuah undang-undang baru yang dapat memastikan keamanan dan hak-hak kita terpelihara daripada ancaman salah laku jenayah.

Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana telah mensyariatkan kepada kita Undang-undang Jenayah Islam (UUJI) yang merangkumi Hudud, Qisas dan Takzir.

Hudud adalah bertujuan untuk menangani dua jenayah berat melibatkan harta iaitu mencuri dan merompak, dua jenayah melibatkan maruah iaitu bersetubuh luar nikah dan menuduh seseorang melakukan persetubuhan luar nikah, satu melibatkan penjagaan akal iaitu meminum arak dan satu lagi melibatkan agama iaitu murtad.

Oleh itu, amat padan sekali jika undang-undang jenayah Islam (UUJI) ini diterima pakai sebagai undang-undang jenayah yang baru dalam negara kita bagi membendung kesalahan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang makin berleluasa dalam negara kita saban hari.

Natijah paling utama daripada pelaksanaan UUJI ini ialah keberkesanan menangani jenayah itu sendiri.

Keduanya, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan perbelanjaan pengurusan penjara.

Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar, secara puratanya dibelanjakan sebanyak RM35 untuk seorang banduan bagi setiap hari atau RM1,050 sebulan.

Sebagai contoh, pada tahun 2013, bagi kes berulang sahaja, terdapat 6,796 orang banduan; 5,553 orang daripadanya merupakan kes jenayah.

Untuk angka ini sahaja, keberkesanan pelaksanaan UUJI bakal menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM5,830,650 (RM1,050 x 5,553) sebulan.

Untuk pengetahuan semua, kini terdapat kira-kira 45,000 orang banduan di 35 penjara di seluruh Malaysia.

Saya rasa, sudah tiba masanya rakyat Malaysia dididik dan dibentuk dengan alternatif undang-undang lain iaitu undang-undang jenayah Islam. Ini kerana:

1. Ia merupakan undang-undang yang telah diamalkan oleh 9 negeri Melayu sebelum membentuk Persekutuan.

2. Ia terbukti dalam sejarah moden hari ini telah berjaya mengekang jenayah mencuri dan merompak.

Sebagai contoh, jumlah kes jenayah di Arab Saudi sepanjang 2012 ialah hanya 2,669 sahaja berbanding Malaysia yang mencecah 63,221 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun yang sama sahaja.

Merujuk kepada Seventh United Nations Survey of Crime Trends and Operations of Criminal Justice Systems pula, pada tahun 2000, jenayah rompakan perkapita memaparkan bahawa Malaysia berada pada tangga ke-26 berbanding Arab Saudi yang berada pada tangga ke-60.

Kenapa keadilan dan keamanan ini dapat diwujudkan? Ini kerana undang-undang jenayah Islam menekankan kedua-dua aspek; pencegahan dan hukuman.

Hakikatnya, undang-undang jenayah Islam ini bukanlah asing buat rakyat Malaysia. Ia pernah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan semula. Insya-Allah.

Sekian.

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: 27 Mac 2015 / 6 Jamadilakhir 1436H

Share on Myspace