EKJS: Jamil Khir dicabar nyata pendirian

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk berani menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-undang Persendirian (RUU) mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) di Kelantan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mahfuz di dalam celahannya itu mengasak Jamil Khir beberapa kali untuk meminta menteri itu bersetuju atau tidak dengan RUU Persendirian itu sebaliknya menteri berkenaan tidak menjawab.

"Nak minta menteri kata setuju atau tidak apa yang di bawa oleh Marang," soal Mahfuz berkali-kali ketika sesi penggulungan oleh Jamil di Dewan Rakyat, semalam.

Mahfuz terus menyoal bertalu-talu selepas Jamil pula mendedahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJSII) tidak pernah dibawa untuk perhatian Majlis Raja-raja Melayu pada 11 Mac sebagaimana didakwa Mahfuz.

Ekoran itu Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohd Said mengarahkan Mahfuz keluar dewan selepas beberapa kali cuba menyoal Jamil Khir sehingga suasana menjadi kecoh.

Jelas Mahfuz, jawatankuasa yang diselia di bawah Jakim dan Peguam Negara sudah menyatakan kesediaan terhadap enakmen itu.

"Jadi tidak ada masalah semua sudah dibawa ke Majlis Raja-raja untuk  mendapat sokongan.

"Persoalannya mengapa dia tidak bawa? Jadi nampak jelas apabila kerajaan ada tekanan daripada komponen BN lalu mereka terpaksa ambil jalan untuk tidak membawa perkara itu bagi membolehkan pindaan ke atas Akta 355.

"Sebab itu saya tanya sekarang ini kalau kerajaan tidak boleh bawa Marang telahpun bawa dan kemukakan cadangan pindaan kepada akta yang sama," tegas Mahfuz ketika bercakap kepada wartawan.

Bagi Mahfuz, Jamil telah melakukan pembohongan di dalam dewan yang mana beliau pernah berjanji pada Disember lalu akan memberi ruang untuk membolehkan EKJS dapat dilaksanakan.

Mahfuz turut mencabar Jamir yang sepatutnya membuat saman pencelahan terhadap saman pemula yang dibuat oleh Gerakan untuk menghalang EKJS di Kelantan.

"Jadi mana? Kata Umno nakkan kepada EKJS. Jadi kerajaan pusat kena buat Pindaan Akta 355 untuk membolehkan EKJS dilaksanakan. Akta 355 dibawah kerajaan Persekutuan," katanya.

Isu Akta 355 jelas Mahfuz, kerajaan sudah bersetuju dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk meminda Akta 355 iaitu Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah 1965 (pindaan) dan perkara ini telahpun disebut akan dibentangkan dalam Majlis Raja-raja pada 11 Mac lalu.

"Perkara ini sudah dimaklumkan oleh jawatankuasa teknikal undang-undang Jenayah Syariah di peringkat persekutuan untuk membuka ruang bagi memudahkan pelaksanaan EKJS II Kelantan. Kelantan pun sudah setuju," jelas Mahfuz. – HARAKAHDAILY 27/3/2015

Share on Myspace