Kenyataan beri imej tidak baik kepada usaha Kelantan

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

SAYA ingin membuat sedikit respons berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider dalam portalnya pada 25 Mac 2015 yang melaporkan bahawa Majlis Raja-Raja dalam persidangannya pada 11 Mac 2015 telah menolak cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Kenyataan ini telah memberi imej yang tidak baik kepada usaha Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2015 pada 19 Mac 2015 yang lepas.

Pada hakikatnya, tiada sebarang dokumen sebagaimana yang didakwa telah dikemukakan kepada Majlis tersebut bagi mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Saya sendiri yang hadir dalam mesyuarat tersebut tidak menemui kenyataan yang didakwa itu.

Maka laporan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta 355 yang perlu dipinda Kerajaan Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud adalah tidak benar dan berniat tidak baik.

Utamakan kesahihan serta ketepatan maklumat sebelum melapor nanti terpalit kesalahan kepada diri sendiri.

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Share on Myspace