Lembaga Pengampunan sudah putuskan petisyen Anwar

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan terhadap petisyen bagi pengampunan diraja dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disabitkan kesalahan meliwat, dan pengumuman akan dibuat pada Rabu, menurut peguam mewakili Anwar.

N. Surendran memberitahu pemberita pengumuman itu akan dibuat apabila Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Anwar bagi kebenaran untuk mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Peguam itu, bersama-sama Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah berjumpa dengan Hakim Datuk Asmabi Mohamad di dalam kamar.

"Keputusan telah dibuat, seperti dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan (di dalam kamar). Mahkamah menetapkan Rabu untuk mengesahkan status petisyen pengampunan," kata Surendran.

Sementara itu, Amarjeet Singh berkata Surendran telah meminta sedikit masa untuk mengesahkan fakta dalam afidavit yang diperakui oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal Perundangan yang juga Sekretariat Lembaga Pengampunan.

"Mereka meminta masa. Sebaik sahaja keputusan dibuat, perlembagaan yang menentukannya. Apabila Anggota Parlimen (MP) lucut kelayakan; hakim memberikan masa kepada mereka untuk mengesahkannya," katanya.

Anwar, MP Permatang Pauh, memfailkan permohonan itu pada 18 Mac dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar, 67, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, mendakwa beliau masih anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang berikutan petisyen bagi pengampunan diraja masih belum diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memgemukakan permohonan bagi pengampunan diraja pada 24 Feb selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah salah di sini perlembagaan, tidak sah dan batal.

Anwar memohon perintah supaya keputusan Komisioner Jeneral Penjara bertarikh 4 Mac dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan di bawah perintah certiorari.

Beliau juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Komisioner Jeneral Penjara membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat dan mengisytiharkan bahawa beliau ada hak untuk menghadiri sidang itu. - Bernama

Share on Myspace