Orang luar tidak berhak menentu hala tuju PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Orang luar tidak berhak menentu hala tuju PAS dan kepimpinan PAS, ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"PAS bukan parti pinggan mangkuk. PAS parti Islam bergerak atas motivasi iman, dosa dan pahala," jelas beliau.

Menurutnya, tidak manis orang luar PAS hendak memasang lukah di pergentingan untuk mengatur siapa yang harus memimpin PAS.

"Ini satu jenaka," tulisnya menerusi facebook.

Mengenai walak, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, orang selalu menuduh ahli PAS walak membuta tuli kepada pimpinannya.

Jelasnya, walak bukan boleh dipaksa atau dilakonkan sahaja kerana ia datang daripada keluhuran budi dan lonjakan iman.

Menurutnya lagi, apabila pemimpin lari daripada dasar perjuangan, maka dia akan hidup sebatang kara.

Justeru, kata beliau bukan senang untuk memaksa orang lain supaya walak.

"Kalau tidak percaya cuba kita suruh orang walak kepada kita dalam skala yang besar.

"Adakah orang boleh walak atau tidak kepada kita?" tanya beliau. - HARAKAHDAILY 27/3/2015

Share on Myspace