GST: Yuran KTMB i-Card Student naik mulai 1 April

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tarikh 1 April 2015 ini dinantikan oleh banyak pihak. Masing-masing menunggu adakah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ini memberi manfaat kepada rakyat atau beban.

Yang pasti, pengumuman demi pengumuman kenaikan bayaran pelbagai perkhidmatan dan barangan.

Sebelum ini, rakyat sudah dimaklumkan akan kenaikan tambang pengangkutan awam – bas dan teksi.

Yang terbaharu ialah pengumuman oleh Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan kenaikan yuran produknya.

Dalam laman rasmi KTMB www.ktmintercity.com.my memaklumkan bahawa yuran tahunan KTMB i-Card Student akan dinaikkan daripada RM30 kepada RM31.80 bermula 1 April ini.
    
Kenaikan itu ekoran pelaksanaan caj enam peratus GST oleh kerajaan mulai Rabu depan.

Sebelum ini, pada 17 Mac 2015 lalu pendaftaran atau pembaharuan KTMB i-Card Youth telah dimansuhkan berkuatkuasa berikutan arahan pengurusan KTMB untuk menyeragamkan penggunaan KTMB i-Card Youth dan KTMB i-Card Student.

Namun, bagi pemegang KTMB i-Card Youth yang telah sedia ada mempunyai kad, mereka boleh menggunakan kad tersebut seperti biasa semasa pembelian tiket di kaunter sehingga tamat tempoh kad.

Kad KTMB i-Card dikhususkan kepada golongan pelajar yang berumur 13 hingga 19 tahun.  – HARAKAHDAILY 27/3/2015

Share on Myspace