Bangunan komersial tertakluk kepada GST 6%

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar sewa rumah dan bil penyelenggaraan kerana hartanah yang dikategeorikan sebagai kediaman dikecualikan daripada cukai tersebut, demikian menurut kastam.
    
Penolong Kanan Pengarah Kastam Sektor Hartanah, Kontraktor dan Profesional Raizam Mustapha berkata pembangunan tanah atau bangunan yang digunakan bagi tujuan kediaman, tanah pertanian atau kegunaan am tidak dikenakan sebarang CBP.
    
"Sebarang hartanah di Malaysia yang dikategorikan sebagai rumah kediaman is exempted (dikecualikan) daripada CBP.
    
"Sementara bangunan yang tidak disifatkan sebagai bangunan kediaman dianggap komersial dan ia tertakluk kepada CBP sebanyak enam peratus," katanya dalam taklimat media CBP berkaitan sektor hartahan dan perumahan di sini, hari ini.
    
CBP akan mula dilaksanakan 1 April ini pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (CJP) yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
    
Mengulas mengenai bil penyelenggaraan, Raizam berkata ia turut dikecualikan daripada CBP bagi mengelak penghuni khususnya kediaman berstrata terbeban dengan sebarang kenaikan jika ada.         
Beliau menjelaskan sebarang bayaran berkaitan bil penyelenggaraan bangunan ditentukan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan dan ia tidak harus dikaitan dengan pelaksanaan CBP.
    
Beliau berkata pada ketika ini JMB atau MC dikecualikan daripada berdaftar dengan CBP, maka tidak sewajarnya berlaku kenaikan bayaran bil penyelenggaraan.
    
"Untuk tujuan pembersihan, JMB atau MC ini boleh dapatkan perkhidmatan daripada pihak (syarikat) yang tidak berdaftar dengan CBP iaitu yang mempunyai perolehan tidak lebih RM500,000," katanya.
    
Selain itu Raizam berkata di bawah era CBP, pemaju kawasan perumahan boleh menuntut balik kos bagi pembinaan kemudahan awam seperti sekolah, taman perumahan, rumah agama dan jalan raya daripada kerajaan menerusi cukai input.
    
Bagaimanapun, jelasnya tuntutan sebanyak enam peratus itu hanya layak dibuat jika pemaju terbabit menyerahkan semua kemudahan awam yang didirikan itu kepada kerajaan. -  BERNAMA

Share on Myspace