Profesionalisme PDRM jadikan negara lebih aman

| .

KUALA LUMPUR: PAS merakam ucapan tahniah dan selamat menyambut peringatan Hari Polis Ke-208 kepada seluruh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, komitmen yang diberikan PDRM kepada negara adalah satu pengorbanan yang disanjung dan dihargai dan berharap profesionalisme PDRM menjadikan negara ini lebih aman dan makmur.

"PAS berharap kewibawaan dan peranan PDRM selaku pasukan keselamatan dalam negara terus dipertingkatkan khusus dalam menangani jenayah dalam negara, sekaligus mewujudkan ketenteraman untuk masyarakat awam," kata beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM Terengganu atas kerjasama yang diberikan khususnya pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3 yang dianjurkan dari 19 hingga 22 Mac lalu di Rusila, Marang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, PAS Terengganu berharap pihak PDRM dapat meneruskan sikap positif, tanpa cenderung serta ‘bias’ kepada mana-mana parti politik dalam memberikan perkhidmatan.

"Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sempena Sambutan Hari Polis Ke-208.

"Tunjukkanlah dan sentiasa amalkan teras polis yang berintegriti dalam menangani masalah terutamanya bagi membendung jenayah yang semakin berat, agar kepercayaan rakyat kepada pihak polis dapat kekal terpelihara," katanya.

Beliau turut mendoakan agar PDRM dapat meneruskan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas Kerana Allah agar ia menjadi aalan soleh di akhirat nanti.

"Kami amat faham tentang amanah yang dijunjung dan tugas-tugas pihak polis serta menyanjung tinggi segala pengorbanan para anggotanya," katanya yang juga Adun Paka. - HARAKAHDAILY 27/3/2015

Share on Myspace