EKJS: Bukan Islam tak perlu bimbang

| .

MARANG: Presiden PAS, Datuk  Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini agar tidak perlu bimbang dan takut dengan pelaksanaan undang-undang Islam.

Ini kerana, katanya Enakmen Jenayah Syariah II 1993 Kelantan yang baharu diluluskan dengan pindaan 2015, itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Menurutnya, orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan takut dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.

Beliau mengulas kebimbangan DAP apabila kerajaan Kelantan meluluskan enakmen tersebut sebulat suara dan bakal disusulinya pula ke Parlimen selepas itu. 

“Di mana usul yang kita bawa ini tidak menyentuh hak orang-orang bukan Islam. Mengapa dia  menimbulkan isu ini.

“Kita dahulukan orang Islam dahulu dalam aspek-aspek dan ruang-ruang yang boleh kita laksanakan syariat  untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam, apa dia Islam?

“Apakah dia takut apa yang hendak kita  tunjukkan Islam…jangan takut,” ujarnya pada satu sidang media selepas kuliah pagi Jumaat, di kediamannya, Rusila pagi tadi.

Namun, katanya, PAS menyedari kemampuannya sekadar mempunyai 21 kerusi yang tidak memungkinkan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia.

“Kita sedar, kita cuma ada 21 kerusi parlimen dan dengan 21 kerusi ini tak kan kita hendak pinda Perlembagaan.

“Maka, kita (PAS) kemukakan suatu pindaan yang menjadi ujian kepada orang Islam dalam parlimen sama ada PAS, sama ada PKR atau orang BN sendiri yang ada orang Islam, yang perlu menyedari, yang perlu membuat suatu perubahan yang membolehkan orang Islam sendiri mengubah kedudukan mereka dalam Perlembagaan,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang. - HARAKAHDAILY 27/3/2015 

Share on Myspace