PAS kutuk penahanan Mat Sabu, aktivis

| .

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya penahanan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Rafizi Ramli serta para aktivis lain oleh polis tanpa sebab yang jelas dan kukuh.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan perlu menghadapi bantahan rakyat terhadap GST yang akan berkuat kuasa 1 April ini, dan beberapa isu panas seperti 1MDB dan salah guna kuasa, bukannya mengalihkan isu dengan tindakan membuli dan menahan pimpinan pembangkang dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan isu rakyat tanpa sebab yang jelas.

"Tekanan dan tindakan zalim seperti ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN dan juga hilang hormat pada kewibawaan polis.

"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan BN menjaga kelakuannya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ditahan polis sekitar jam 12.20 tengah malam tadi setelah keluar dari kereta timbalannya, Ustaz Saleh Man untuk minum di sebuah restoran berdekatan Pekan Sungai Dua, Permatang Pauh.

Sebelum itu beliau baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS negeri di Markaz Tarbiyah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Pada sebelah pagi, beliau hadir ke Mahkamah Seksyen Butterworth dalam pembicaraan kes Mat Indera.

Penahanan ini menjelang perhimpunan besar Kita Lawan di Kuala Lumpur hari ini.

Tuan Ibrahim turut menegaskan, Pakatan Rakyat perlu memperbesar isu penyelewengan dan salahguna kuasa BN dan kecilkan perbezaan, terutamanya dalam isu hudud, khasnya melibatkan cadangan Private Members Bill di bawah Akta 355, yang hanya sekadar usaha kecil untuk meningkatkan sedikit hukuman di Mahkamah Syariah dari hukuman sebatan dari 6 sebatan kepada 'sebatan yang menepati tuntutan syarak'.

"Hormatilah perbezaan kecil ini untuk membolehkan kita meraikan persamaan yang teramat luasnya. Musuh politik kita masih sama iaitu Umno BN," tegasnya. - HARAKAHDAILY 28/3/2015 

Share on Myspace