Ahli jangan mufaraqah dengan perjuangan PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli PAS diingatkan jangan sekali-kali mengambil tindakan bermufaraqah dengan perjuangan PAS yang bercita-cita menegakkan Islam.

Ini kerana ianya bercanggahan dengan sifat pejuang Islam yang hakiki yang dianjurkan oleh Islam.

Demikian kandungan Resolusi Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan 2015, sebagaimana di bawah.

PAS Wilayah Persekutuan melalui Konvensyennya yang bertarikh 28 Mac 2015 telah menetapkan resolusi-resolusi berikut yang perlu dituruti oleh kesemua perwakilan PAS Wilayah Persekutuan:

1. Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan menegaskan terus mendukung kepimpinan ulama untuk terus mengemudi perjuangan Islam PAS.

2. PAS Wilayah Persekutuan mengecam tindakan biadap dan tidak bertamadun Lim Guan Eng memutuskan hubungannya dengan Tuan Guru Presiden PAS. Ianya adalah satu penghinaan kepada seluruh ahli PAS yang telah memilih beliau sebagai Presiden melalui saluran muktamar.

3. Konvesyen menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha kerajaan Kelantan untuk merealisasi pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015.

4. Bagi memastikan anasir-anasir perosak di dalam PAS tidak berterusan melakukan mungkar di dalam PAS, Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan menggesa pihak Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan PasMa dan mana-mana gerakan dalaman yang cuba menggoncangkan dasar dan prinsip PAS.

5. PAS Wilayah Persekutuan menggesa supaya PAS senantiasa mengambil langkah memantau dan mengkaji kedudukan tahaluf bersama Pakatan Rakyat dari semasa ke semasa. Prinsip-prinsip Islam wajib dipertahankan dalam bertahaluf dan bukannya untuk dikorbankan.

6. Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan mengingatkan pemimpin dan ahli PAS supaya jangan sampai ada berlaku walak kepada rakan tahaluf melebihi walak dan ketaatan kepada perjuangan parti yang dipimpin oleh kepimpinan ulama.

7. Mengingatkan ahli PAS agar jangan sekali-kali mengambil tindakan bermufaraqah dengan perjuangan PAS yang bercita-cita menegakkan Islam kerana ianya bercanggahan dengan sifat pejuang Islam yang hakiki yang dianjurkan oleh Islam.

8. Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan mendesak supaya GST ditarik balik oleh kerajaan kerana ianya adalah satu kezaliman dan menyukarkan lagi situasi kedudukan ekonomi rakyat. Konvensyen turut menegaskan pentingnya ekonomi negara diuruskan berlandaskan syariat Islam yang bersifat syumul. - HARAKAHDAILY 28/3/2015

Share on Myspace