Adakah Umno lebih sayang rakan BN daripada EKJS?

DATUK MAHFUZ OMAR | .

Ketika sesi penggulungan di Parlimen kelmarin, saya bangun meminta penjelasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkenaan status terkini kesediaan Kerajaan Pusat untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah 1965 (Bidang Kuasa Jenayah).

Hal ini amat penting kerana dengan pindaan yang akan meluaskan kuasa Mahkamah Syariah, ia akan memudahkan lagi proses penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (EKJS) yang sudah diluluskan pindaannya dengan sebulat-suara di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Pada 15 Disember 2014, Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah pun bersetuju dengan cadangan untuk membuat pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah 1965 (Bidang Kuasa Jenayah).

Seterusnya, pada 18 dan 20 Disember 2014 pula, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah pun bersetuju dengan draf pindaan sudah siap dan akan diangkat cadangan tersebut kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 11 dan 12 Mac 2015.

Bahkan, ia turut dimuatkan di dalam roadmap pelaksanaan Hudud yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat. Rupa-rupanya, cadangan pindaan tersebut tidak dibawa pun ke dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Sikap dolak-dalik Kerajaan Pusat dalam hal ini jugalah menjadi punca Majlis Raja-Raja Melayu turut terpalit dalam hal ini sehingga difitnah mereka menolak pelaksanaan EKJS di Kelantan.

Kerajaan Pusat masih berdolak-dalih dan tidak yakin untuk membentangkan pindaan tersebut di Parlimen.

Kini, cadangan pindaan yang sama telah dibawa melalui  Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Dalam hal ini, menteri sendiri gagal untuk menyatakan sokongan terhadap pindaan itu, sedangkan asalnya ia adalah di bawah tanggungjawab beliau. Beliau sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam sepatutnya jujur dan berani, bukannya berdolak-dalik.

Saya mendesak Datuk Seri Jamil Khir dan Kerajaan Pusat bertindak berani dalam hal mempertahankan kesucian agama Islam ini dengan membuat pencelahan pada saman yang difailkan oleh Parti Gerakan (parti komponen Barisan Nasional) yang memohon pengisytiharan pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

Apabila melihatkan kegagalan PM Najib sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional untuk menyatakan pendirian berkenaan EKJS ini, maka jelaslah bahawa sokongan yang Umno berikan pada Sidang Dun Kelantan baru-baru ini tidak lebih daripada sekadar sandiwara, hipokrasi dan lakonan demi meraih sokongan politik sahaja.

Adakah Umno masih punya keberanian untuk mempertahankan Islam atau lebih risau akan kepentingan kuasa?

Adakah Umno lebih sayangkan rakan parti komponen BN yang menentang pelaksanaan EKJS di Kelantan itu berbanding enakmen itu sendiri?

Melihat telatah Ahli Parlimen Umno ketika suasana hangat semalam, mereka ini tidak lebih sekadar menjadi tukang riuh dan sorak sahaja dan sekaligus gagal untuk mendesak Kerajaan Pusat pimpinan Umno untuk membuat pindaan meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. - HARAKAHDAILY 29/3/2015

Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Share on Myspace