EKJS: Bukan Islam tak sokong kerana belum faham

| .

 

IPOH: Cadangan pindaan Enakmen Jenayah Kanun Syariah (EKJS) melalui Bill Persendirian yang akan dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di parlimen disifatkan sebagai sangat cantik.

Bagaimanapun kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, disebabkan masa tidak mengizinkan maka ia tidak dapat disampaikan untuk dikaji oleh semua pihak.

Beliau yakin, jika cadangan berkenaan EKJS itu berjaya disampaikan 100 peratus, semua pihak bukan sahaja Pakatan Rakyat malah tidak mustahil MCA dan Gerakan yang kuat menentang pun akan menerimanya.

Katanya, tugas PAS adalah mencari jalan agar agenda yang dibawa oleh Ustaz Hadi boleh difahami oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS nak bawa pindaan itu ke parlimen, kita memerlukan sokongan sekurang-kurangnya daripada ahli parlimen yang beragama Islam.

"Ahli Parlimen beragama Islam itu termasuklah daripada DAP dan PKR. Jadi, saya berpendapat jalan memberikan penerangan adalah lebih baik untuk kejayaan pindaan yang dicadangkan.

"Saya tak reti nak bergaduh macam orang lain, saya mempertahankan dengan cara saya, iaitu supaya agenda Presiden PAS itu berjaya, orang yang tidak faham dan tidak menyokong bukan kerana dia menentang tetapi kerana dia belum faham," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Gajah kali ke-29 di D'Hotel, Seri Iskandar, dekat sini semalam.

Husam juga berkata, parti komponen BN di Sabah dan Sarawak termasuklah PBB dan SUPP yang berdiam diri dalam isu ini membuktikan mereka boleh menerima EKJS bahkan diyakini akan menyokong jika BN menyokong bill persendirian tersebut.

Ini katanya adalah satu perkembangan yang sangat baik dan jika PAS berjaya memberikan penjelasan dengan baik, beliau yakin ia akan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.

"Saya yakin bahawa semua pihak termasuklah dari kalangan komponen BN sendiri akan boleh menerima apa yang dibawa oleh Presiden PAS," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 29/3/2015

Share on Myspace