Husam: DAP Sarawak keluar Pakatan strategi bagus

| .

 

IPOH: Pakatan Rakyat perlu perlu mempamerkan kebolehan memimpin negara dan kemampuan menyelesaikan perbezaan pendapat.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, konflik dan perbezaan pendapat mesti diselesaikan melalui satu formula yang boleh diterima oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya bukan yakin (Pakatan Rakyat tidak berpecah) tetapi kita perlu buat macam tu, kerana orang nak tengok bagaimana kita menyelesaikan masalah," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu Gajah kali ke-29 yang diadakan di D'Hotel, Seri Iskandar, dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Noh Ahmad; Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon dan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Gajah, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Husam menyatakan, walaupun Pakatan Rakyat sedang dilanda pelbagai konflik disebabkan perbezaan pendapat ketika ini termasuklah terbaru berkaitan isu Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi gabungan tahaluf siyasi itu masih baik di seluruh negara.

Beliau turut yakin pimpinan ketiga-tiga parti bersama parti masing-masing akan mengutamakan kewajipan serta keperluan untuk menyelamatkan negara daripada kezaliman dan ketidakadilan BN.

Ketika ditanya berkenaan tindakan DAP Sarawak keluar daripada Pakatan Rakyat di Sarawak, Adun Salor itu merasakan tindakan itu adalah bagus dari sudut strategi serta akan mendapat manfaat kepada kedua-dua parti.

"PAS boleh diterima oleh penyokong-penyokong PAS (dari kalangan bumiputera), DAP boleh disokong oleh masyarakat Sarawak yang tidak sokong PAS.

"Jadi kedua-dua parti boleh menang kerusi (di dalam pilihan raya negeri), ia bagus dari sudut strategi," jelasnya. - HARAKAHDAILY 29/3/2015

Share on Myspace