Vera, muslimah pertama Ukraine hafal 30 juz Al-Quran

HARAKAHDAILY | .

Vera (tengah) mengajarkan Al-Quran.

MENJADI seorang mualaf 17 tahun yang lalu, dan kini menjadi muslimah pertama Ukraine yang mampu menghafal 30 juz Al-Qur'an, Vera Verinak akhirnya berjaya mengatasi halangan bahasa dan kekangan masa untuk mempelajari Al-Quran.

"Saya mula dengan belajar bahasa Arab, lalu menulis ayat-ayat Al-Quran dan menterjemahkannya, hingga akhirnya saya mampu memahami dan menghafal Al-Quran," ujar Vera Verinak kepada Aljazeera seperti dikutip Onislam Selasa, (24 Mac).

Vera, 35, berkata pada awalnya dia tidak berharap untuk berjaya menghafal seluruh isi Al-Quran, terutama selepas mengambil kira halangan bahasa dan kekurangan waktu.

"Setelah mempelajari bahasa Arab, pusat kebudayaan Islam di Kiev memberikan peluang membantu saya menghafal Al-Quran. Alhamdulillah saya dapat menghafalnya dalam masa sembilan bulan," katanya dipetik Islampos.

Impiannya untuk menghafal Al-Quran tercapai, Vera berkata dia berminat untuk mengajar Al-Quran kepada Muslim yang lain dan menyebarkan Islam dalam kalangan non-Muslim.

Vera juga telah menjadikan ibu dan empat saudaranya muallaf, dan membantu kaum muda mencari pengetahuan tentang agama Islam yang paling cepat berkembang.

Seorang gadis bernama Jana, berkata dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam lantaran bertemu dengan Vera yang meyakinkannya bahawa 'Islam adalah keyakinan dan jalan hidup yang lurus'.

Pada 2012, dianggarkan 500,000 Muslim tinggal di Ukraine dan sekitar 300,000 di antaranya dari Tatar Crimea.

Hari ini Islam adalah agama minoriti terbesar di Ukraine selepas Kristian.

Share on Myspace