Abim gesa polis henti serta merta tindakan provokatif

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam kaedah penahanan secara provokatif yang digunakan oleh polis yang merujuk kepada beberapa kes penahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata kaedah penahanan yang dilihat melampau boleh menimbulkan rasa benci masyarakat terhadap pasukan polis.

"Ia sekaligus menghilangkan rasa hormat, memandangkan mereka yang ditahan rata-ratanya adalah ahli politik dan aktivis masyarakat bukannya penjenayah berbahaya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tambahan pula ada kalangan mereka tanpa gagal memberikan kerjasama kepada polis bagi melakukan siasatan atau merakam perbualan.

"Apakah keperluan untuk mereka ditahan di tempat-tempat awam di waktu dinihari? Apatah lagi dengan aksi ala penculik upahan profesional?" tanya beliau.

Sedangkan, ujarnya mereka akan ke balai polis cukup dengan satu notis panggilan.

Ini, tambah beliau membuat imej polis kelihatan bodoh, ganas dan tidak bertimbangrasa.

Persepsi ini, kata beliau bertambah negatif apabila tindakan sebegini dilakukan secara berpilih atau secara lebih jelas hanya terhadap parti politik tertentu.

Tambahnya, Abim khuatir jika imej polis kembali ketika Tan Sri Abdul Rahim Noor menjadi Ketua Polis Negara yang terbabit dengan insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Usaha membaiki imej polis yang telah terjejas teruk diikhtiarkan oleh beberapa KPN selepas itu telah mula membuahkan hasil," katanya.

Justeru, kata Amidi Abim menuntut agar Menteri Dalam Negeri campur tangan sebelum imej polis rosak secara keseluruhan. - HARAKAHDAILY 29/3/2015                         

Share on Myspace