Industri minyak: Jangan nanti rakyat T'ganu jadi pengemis

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM | .

SAYA mendapat rungutan banyak pihak khususnya di sekitar kawasan perindustrian minyak dan gas di Kemaman berkenaan kebanjiran tenaga pekerja buruh asing yang berada di bawah kontraktor lantikan Petronas.

Rungutan ini turut mengepilkan bersama beberapa contoh gambar pekerja-pekerja asing yang lengkap berpakaian ‘coverall’ sebagai bahan bukti peningkatan luar biasa tenaga buruh asing yang diguna pakai dalam melaksanakan kerja-kerja di dalam kawasan perindustrian ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius isu ini dan berpandangan seperti berikut :-

1.         Kerajaan Terengganu perlu memainkan peranan penting dalam membuat tuntutan agar rakyat tempatan berhak mengisi ruang kerja yang sedia ada dalam industri minyak dan gas, khususnya dalam operasi yang berada dalam negeri Terengganu. Polisi yang tegas untuk memberikan keutamaan kepada rakyat tempatan, khususnya rakyat Terengganu perlu diperkasakan.

2.         Pusat pengajian teknikal yang dimiliki pihak kerajaan pusat, negeri dan swasta perlu memberikan penekanan dalam memupuk nilai-nilai murni pekerja yang cemerlang dan tahap kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugasan. Bukan sahaja berbangga dengan pengiktirafan sijil kemahiran tinggi tetapi perlu diterapkan budaya kerja yang cemerlang untuk anak-anak muda bumiputera.

3.         Petronas perlu memainkan peranan utama dalam membentuk acuan tenaga mahir di kalangan anak tempatan dan bukannya menyerahkan kemahiran tinggi ini kepada tenaga buruh asing sewenang-wenangnya melalui pengambilan sebagai tenaga kerja dalam industri penting negara.

4.         Kontraktor tempatan perlu diberikan pembelaan sewajarnya. Sistem ‘low price win bidding’ perlu diperhalusi oleh pihak Petronas. Harga pasaran dan harga tawaran perlulah sesuai. Penempatan pekerja tempatan perlu diberikan perhatian sebaik mungkin. Bukan kerana tawaran harga rendah, pekerja asing diberikan keutamaan dan pekerja tempatan diketepikan oleh syarikat kontraktor yang menerima anugerah tender.

DPPNT berpandangan, Petronas diakui sebagai sebuah syarikat yang banyak membela rakyat tempatan sehingga hari ini.

Pun begitu, kehadiran sebilangan syarikat kontraktor luar yang membenihkan tenaga pekerja asing ini perlu diberikan perhatian oleh pihak Petronas agar peranan syarikat multinasional ini kekal menjadi nadi kepada pembangunan setempat, pemindahan teknologi dan kepakaran berkaitan petroleum serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu khasnya tidak terjejas gara-gara kebanjiran tenaga kerja asing yang makin berleluasa.

Kerajaan Negeri Terengganu dilihat tidak ada kekuatan untuk memberikan desakan terhadap keberadaan anak-anak tempatan dalam industri ini.

Peluang pekerjaan untuk anak-anak Terengganu perlu diusahakan oleh pihak kerajaan negeri secara lebih gigih untuk anak-anak muda Terengganu khususnya.

Industri minyak dan gas antara ruang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri.

Kegagalan pihak kerajaan negeri khususnya dalam membantu merancakkan perkembangan industri minyak dan gas dalam negeri ini amat mengecewakan.

Pihak kami cukup bimbang penularan ini akan terus berlaku sehingga anak-anak tempatan melalui syarikat kontraktor makin jauh tersisih dari menyertai operasi dalam loji, platform offshore, FSO/FPSO dan seumpamanya berbanding jumlah hari ini.

Kebanjiran tenaga kerja asing yang berterusan dari kalangan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia, Myanmar dan lain-lain akan lebih mengecewakan rakyat tempatan. Janganlah nanti rakyat Terengganu mengemis di tanah sendiri. - HARAKAHDAILY 30/3/2015

Penulis ialah Timbalan Ketua DPPNT yang juga Adun Tepoh.

Share on Myspace