EKJS: PAS harap majoriti mudah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap akan mendapat majoriti mudah di parlimen bagi membenarkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) di negeri itu.

Beliau ketika ditemui di lobi parlimen hari ini turut berkata perbentangan rang undang-undang persendirian pada sidang parlimen kali ini bergantung kepada perbincangan Kelantan dengan pihak berkenaan (kerajaan).

"Undang-undang persendirian 'private bill'  itu bergantung kepada perbincangan Kelantan dengan pihak berkenaan kerana ia berkaitan dengan perlembagaan.

"Ada bergantung kepada 2/3 majoriti dan majoriti mudah, kita pilih majoriti mudah yang kita dapat dari orang-orang Islam sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata PAS terus konsisten dalam memperjuangan Islam dan undang-undang Islam untuk keadilan semua kaum.

"DAP telah nyatakan pendirian bersetuju dan tidak bersetuju, boleh rujuk kenyataan bersama Pakatan Rakyat, kita bersetuju untuk beliau tidak bersetuju.

"Kenyataan DAP dalam hal ini tidak memeranjatkan, PAS konsisten dalam perjuangan Islam untuk semua kaum dan keadilan untuk semua," katanya lagi.

Beliau yang turut menyambut baik jika kejayaan Kelantan melaksanakan EKJS ini akan dapat mempengaruhi negeri-negeri lain dalam mengangkat undang-undang Islam.

"Terpulang kepada negeri lain, kita tidak ada hak terhadap mereka, Islam mengambil kira kedudukan politik tempatan.

"Kelantan berjaya ia akan memberi pengaruh yang baik untuk negeri-negeri lain melaksanakan sepertimana Kelantan termasuk mengalakkan orang bukan Islam menerima kita, tujuan kita untuk selamatkan semua, dalam perjuangan tidak ada yang mudah dan tidak ada yang mustahil," sambung beliau lagi.

Beliau memberitahu belum menerima apa-apa maklum balas dari Speaker Dewan Rakyat berhubung 'private bill', namun yakin ia akan dibentangkan pada persidang kali ini.

Beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Sing berhubung pembentukan kerajaan baharu melibatkan Ahli Parlimen di kalangan parti kerajaan dan pembangkang wajar bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Saya tak baca lagi kenyataan penuh beliau, Malaysia sebuah negara demokrasi, dia ada hak dan kita ada hak.

"Percaya Pakatan atau tidak itu terpulang kepada dia, untuk masa depan Pakatan Rakyat saya tidak tahu.

"Cuma apa yang berlaku ini tidak akan mempengaruhi pemilihan pada muktamar nanti kerana segala keputusan itu dibuat oleh ahli PAS bukannya orang lain," tambah beliau. - HARAKAHDAILY 30/3/2015

Share on Myspace