Punca di sebalik serangan Saudi di Yaman

MOHD NASAIE ISMAIL | .

YAMAN sebelumnya diperintah oleh diktator Abdullah Saleh. Pembangkang paling kuat ketika itu Parti Islah (Ikhwan Muslimin Yaman) yang dipimpin Sheikh Dr Majid Zindani.

Pambangkang kedua terkuat ialah puak Houthi (sebutan Hoosi) yang bermazhab Syiah Zaidiah. Zaidiah merupakan mazhab Syiah yang paling dekat dengan Sunni bahkan fikahnya hampir menyamai mazhab Syafie. Dari sudut hubungan teologi, mazhab ini tidak dihukum sesat oleh Kesatuan Ulama Sedunia bahkan mereka mempunyai wakil dalam kesatuan antarabangsa tersebut.

Puak Houthi mendiami Utara Yaman bersempadanan Saudi dan juga di Sana'a, ibu negara Yaman. Sebagaimana pembangkang di Kelantan yang didiskriminasi Kerajaan Persekutuan Malaysia dari sudut pembangunan dan royalti, begitu juga kawasan puak Houthi dianaktirikan kerajaan diktator Abdullah Saleh sebelum ini. Ketika itu lagi – jauh sebelum berlakunya Arab Spring – telah berlaku pertempuran antara puak Houthi yang disokong Iran dengan tentera regim Abdullah Saleh yang disokong Saudi.

Ketika inilah Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi pernah meminta Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memainkan peranan sekitar tahun 2008 ke 2010 bagi mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah. Tuan Guru ketika itu telah pergi ke Yaman bertemu Abd Rabbuh Mansur Al-Hadi (Timbalan Presiden Yaman ketika itu), wakil ulama Sunni dan wakil puak Houthi.

Apabila bertemu, barulah dimaklumi bahawa punca pemberontakan adalah disebabkan faktor diskriminasi ekonomi. Kemudian Tuan Guru berangkat ke Iran dan Saudi pula untuk bertemu kedua-dua pemerintah. Diterangkan hal sebenar serta risiko jika peperangan besar tercetus hingga menyebabkan laluan terbuka kepada Amerika Syarikat (AS) untuk masuk ke medan tempur Yaman dan seterusnya masuk ke Saudi juga. Akhirnya kedua-dua negara bersetuju untuk mendamaikan Houthi dengan kerajaan Abdullah Saleh.

Apabila berlaku Arab Spring yang menjatuhkan diktator Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia, rakyat Yaman turut serta bangkit mendesak Abdullah Saleh meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya yang bersih.

Kebangkitan telah mengambil masa yang lama dan berakhir dengan rundingan. Abdullah Saleh bersetuju untuk melepaskan jawatan dan timbalannya Abd Rabbuh Mansur Al-Hadi mengambil alih pemerintahan Yaman untuk beberapa tempoh sebelum diadakan pilihan raya.

Bacaan umum ketika itu, jika diadakan pilihan raya, Parti Islah dilihat sebagai pihak paling berpotensi untuk menang. AS telah melihat ancaman kemenangan Parti Islah kepada hegemoni Barat dan mengambil langkah untuk menggagalkan proses pilihan raya tersebut. Lalu dengan bantuan Saudi, AS telah membekalkan senjata kepada puak Houthi untuk masuk ke Sana'a dan menawan bandar tersebut.

Strategi AS ketika itu ialah, puak Houthi akan masuk ke Yaman dan menawan pejabat kerajaan serta Universiti Iman (pusat gerakan Parti Islah). Harapan mereka supaya Parti Islah membalas serangan puak Houthi tersebut, lalu berlaku pertempuran yang memusnahkan keduanya. Akhirnya AS akan masuk.

Namun Parti Islah telah mengesan taktik kotor ini. Lantas mereka mengambil pendirian untuk mengundurkan diri dan tidak melakukan serangan balas kerana maklum AS merupakan dalang di sebalik kesemua serangan tersebut. Serangan ini berakhir dengan puak Houthi berjaya menawan Sana'a dan beberapa bandar lain.

Pemerintah Yaman, Abd Rabbuh Mansur Al-Hadi yang disokong AS kemudiannya jatuh dan puak Houthi menjadi pemerintah baru di Sana'a. Itu merupakan kejayaan percuma bagi puak Houthi walaupun pada awalnya mereka dipersenjatakan bukan atas tujuan untuk menang. Namun sebaliknya telah berlaku.

Menyedari kesilapan taktik hingga akhirnya menyebabkan puak Houthi yang sama pendirian dengan Parti Islah (anti Amerika) menjadi pemerintah Yaman, maka disusun semula serangan untuk mengalahkan pemerintah Houthi dan mengundurkan mereka daripada Yaman. Maka pakatan tentera diketuai oleh Saudi (rakan rapat AS di Asia Barat) dan juga Mesir pimpinan Jeneral Sisi (yang menggulingkan Morsi dan membunuh ribuan umat Islam Mesir) bersama lapan negara Arab yang lain telah memulakan serangan di Yaman ketika ini.

Inilah bidak catur AS yang perlu difahami semua. Dalam sejarahnya, Saudi langsung tidak mengambil pendirian untuk menolong Hamas (Sunni) di Palestin. Bahkan Hizbullah (Syiah) pula yang gigih membantu Hamas. Presiden Morsi merupakan seorang yang bermazhab Sunni. Saudi bukan sahaja tidak mendokong beliau, bahkan Saudi membantu pula Jeneral As-Sisi untuk menumbangkan Morsi yang telah dipilih secara demokratik. Ringkasnya, ini adalah isu kepentingan politik dan ekonomi.

Serangan ini tidak berkait langsung dengan isu pertentangan mazhab sebagaimana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. – HARAKAHDAILY 30/3/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia

Share on Myspace