Konflik Yaman: Kerajaan digesa bawa pulang rakyat Malaysia

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan agar berusaha sedaya-upaya untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Yaman bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahamd Iskandar Al Hiss (LA PPM) berkata, perkembangan konflik di Yaman amat membimbang apabila Liga Arab diketuai oleh Arab Saudi melakukan serangan udara terhadap negara tersebut beberapa hari lalu.

"Kita merasa bimbang keselamatan orang awam khususnya pelajar Malaysia di Yaman. Setakat semalam dilaporkan 39 orang awam telah terkorban," katanya kepada Harakahdaily.

Serangan ini katanya mungkin memakan masa yang panjang dan dikhuatiri bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan tempat perlindungan musnah sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

"Kita tidak mahu terjadi sekali lagi peristiwa yang mengerikan seperti di Syria apabila ribuan orang awam menjadi korban serangan tidak berperikemanusiaan dalam sejarah tamadun manusia," ujarnya.

LA PPM juga mendesak supaya negara-negara Arab tidak melibatkan Amerika Syarikat (AS) serta negara Barat lain dalam konflik di Yaman.

"Seharusnya konflik ini dapat diselesaikan tanpa penglibatan langsung dunia Barat khususnya AS kerana umum mengetahui jika AS terlibat dalam sesuatu konflik, ia bukan menyelesaikan masalah tetapi lebih memburukkan keadaan," tegas beliau.

Justeru LA PPM mendesak supaya serangan yang diketuai oleh Arab Saudi bersama negara Arab yang lain tidak sama sekali mensasarkan lokasi-lokasi petempatan penduduk dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan awam.

"Juga mengharapkan agar konflik di Yaman akan diselesaikan secepat mungkin tanpa korban awam yang banyak," tambahnya.

Peperangan antara tentera yang setia dengan Presiden Abd-Rabbu Mansour Al-Hadi dengan pemberontak Houthi di selatan Yaman semakin meruncing dan serangan udara dibuat bagi memastikan puak Houthi berundur dari bandar-bandar di Yaman.

Serangan diketuai Arab Saudi itu dilancarkan Khamis lalu dengan menyasarkan kumpulan berkenaan dan sekutu mereka, termasuk tentera yang setia kepada bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

Pada persidangan yang diadakan di bandar Sharm el-Sheikh itu, ketua Liga Arab Nabil Elaraby membacakan kenyataan yang menggariskan pandangan golongan pemimpin berkenaan. – HARAKAHDAILY 30/3/2015

Share on Myspace