Jika Umno sokong, tak perlu tanya ikhlas atau tidak

HARAKAHDAILY | .

ISLAM berbeza dengan agama lain yang hanya bersifat ritual semata-mata. Islam bukan religion dengan pemahaman yang sempit. Tetapi Islam adalah ad-deen yang mencakupi segenap urusan kehidupan manusia.
 
Islam tidak memaksa manusia menerima dan melaksanakan ajarannya. Pelaksanaan Islam perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain.
 
Benih rasul akhir zaman
 
Allah memerintahkan Ibrahim meninggalkan Ismail di Makkah dengan tujuan meletakkan benih melahirkan Nabi Muhammad SAW di Kota Suci itu. Allah wujudkan ftrah manusia di kota Makkah:
 
a. Manusia berkehendak kepada Tuhan
b. Berpusatkan qiblat
c. Manusia hidup bermasyarakat dan berhubung hingga ke tahap antarabangsa.
 
Perkahwinan keturunan Ibrahim dengan qabilah Jurhum dari Yaman melahirkan bangsa Quraisy  yang hebat.  Quraisy menghubungkan dunia Barat dan Timur menerusi aktiviti ekonominya رحلة الشتاء والصيف.  Musim sejuk mereka berdagang ke Negara Yaman manakala musim panas ke Syam.

Yaman adalah pelabuhan yang menemukan pedagang-pedagang dari India, China dan negara-negara Timur. Manakala Syam adalah pusat perdagangan yang menemukan pedagang dari Rom dan Eropah. Makkah adalah bandar metropolitan yang memperdagangkan barangan timur ke barat dan barat ke timur.  Maka Makkah menerusi bangsa Arab Quraisy telah menjadi penghubung dua tamadun dunia Timur dan Barat.
 
Di situlah Allah lahirkan Rasul akhir zaman seolah-olah memberitahu kepada seluruh manusia bahawa utusan Allah ini diutus kepada seluruh manusia Timur dan Barat. Islam adalah untuk semua bangsa di dunia.
 
Pengutusan baginda sebagai Rasul bukan hanya batang tubuhnya sahaja yang datang. Tetapi Allah bekalkan dengan buku panduan iaitu Al-Quran sebagai rujukan dan panduan yang perlu diikuti. Segala perkara berkaitan Islam dirujuk kepada Al-Quran.
 
Setelah berhijrah ke Madinah, negara Islam ditubuhkan berpandukan Al-Quran dan bersifat antarabangsa. Baginda berjaya menterjemahkan Al-Quran menerusi praktikal dalam pemerintahannya.
 
Nabi dipanggil pulang, Al-Quran ditinggalkan di dunia
 
Ayat-ayat Al Quran yang menjadi panduan dalam kehidupan beragama ini  terus turun sedikit demi sedikit. Hinggalah setelah lengkap seluruh ajaran Islam diturunkan, maka Allah menjemput pulang rasulNya.  Walaupun Rasul dijemput pulang, namun Al Quran ditinggalkan untuk menjadi rujukan dan pegangan seluruh manusia hingga hari qiamat.
 
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, kelangsungan perjuangan Islam disambung oleh para sahabat, tabi’ tabi’in dan khalifah-khalifah seterusnya.

Mereka menyebarkan ajaran Islam dengan tujuan memberikan kebaikan dan berkongsi keuntungan dengan seluruh manusia. ‘Al-Futuhat Al Islamiyyah’ bukan bersifat menjajah, sebaliknya sebagai pembukaan dan pembebasan negara-negara yang selama ini dicengkam oleh penguasa-penguasa yang zalim lalu diberikan kebebasan bersama Islam.
 
Para penduduknya tidak masuk Islam dengan paksaan, bahkan mereka sendiri yang tertarik dengan keadilan pemerintahan Islam lantas dengan ikhlas hati menyertai Islam beramai-ramai. Inilah hasil pelaksanaan undang-undang Islam yang memberikan kesan yang amat ketara berbanding dengan undang-undang ciptaan manusia.
 
Islam memperkenalkan undang-undang yang amat bersesuaian dengan kehidupan manusia di pelbagai peringkat termasuk peringkat antarabangsa. Apabila dibandingkan dengan undang-undang lain, ternyata undang-undang Islam jauh lebih baik dan menepati fitrah manusia.

Undang-undang antarabangsa

Sebagai contoh, menjadi satu amalan dalam undang-undang antarabangsa bahawa sesebuah negara itu boleh menjalankan urusan perdagangan hanya dengan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya sahaja.

Undang-undang ini menimbulkan banyak masalah kepada keperluan manusia sedangkan undang-undang Islam lebih terbuka dalam membenarkan perdagangan dengan sesiapa sahaja asalkan ia menepati syarat-syarat perniagaan dalam Islam.

Hasilnya, pedagang-pedagang luar termasuk orang-orang jahat dapat masuk ke Negara Islam dan melihat kebaikan dan keadilan Islam. Mereka akhirnya tertarik kepada Islam dan bertindak memeluk agama Islam. Tidak sekadar itu, apabila pulang ke negara mereka, mereka memperkenalkan pula Islam kepada rakan taulan mereka.

Dengan sebab itu apabila para pendakwah tiba ke negara mereka, Islam boleh diterima dengan mudah. Islam terus berkembang ke negara luar. Iran yang menganut agama menyembah api, boleh menerima Islam dengan mudah. Mesir yang berada di bawah kuasa Muqauqis juga menerima Islam. Bahkan Eropah Barat turut menerima Islam sebagai agama mereka.

Sistem percukaian

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat dunia mengamalkan sistem feudal di mana pemilikan tanah hanya diizinkan kepada golongan bangsawan dan orang-orang kaya sahaja. Orang-orang miskin bukan sekadar tidak boleh memiliki tanah, bahkan mereka tidak  diberi ruang untuk menjalankan perniagaan.

Apabila Islam datang, Islam menyusun dan menstruktur semula system ekonomi dan percukaian. Semua pihak dibenarkan memiliki harta dan tanah. Semua pihak boleh menjalankan perniagaan. Bagi yang memiliki pendapatan tertentu, mereka dikenakan zakat. Ia adalah sejenis percukaian yang bertaraf ibadat, mendapat ganjaran pahala dan dapat pula dimanfaatkan oleh golongan miskin dan memerlukan.

Bagi orang-orang kafir pula mereka dikenakan jizyah. Ia bukan bermaksud ‘cukai kepala’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ia berasal dari kalimah (jaza’) yang bererti ‘balasan’.  Ia membawa maksud bayaran sebagai balasan di atas jaminan keamanan dan keselamatan mereka tinggal di Negara Islam.

Bagi orang kafir yang memiliki hasil tanaman pula mereka dikenakan cukai kharaj, manakala bagi umat Islam mereka dikenakan zakat az zuru’ wath-thimar. Orang kafir yang kaya dengan hasil perniagaan dikenakan cukai perniagaan, sedangkan umat Islam dikenakan zakat ‘urudhut tijarah.

Lebih bertimbang rasanya Islam, Islam menetapkan bahawa cukai adalah mengikut keperluan semasa. Ia boleh dihapuskan apabila tiada keperluan mendesak. Berbeza dengan zakat. Ia tidak boleh dihapuskan kerana ia adalah ibadat.

Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Al-Muqaddimah menyatakan, apabila sesebuah negara itu diperintah oleh pemerintah yang adil, pemimpinnya baik, pendapatan negara mencukupi, maka tidak perlu lagi dikutip cukai.

Al-Quran merakamkan kisah bagaimana Zulqarnain menolak bayaran cukai dari kaum yang memohon perlindungan keselamatan daripadanya dengan menyatakan, “…(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” (Al Kahfi 95)

Justeru kita penuh yakin bahawa sistem yang ditawarkan oleh Islam akan mampu mengawal dan menyelesaikan konflik yang berlaku di kalangan manusia hari ini. Justeru kita pula ingin menawarkan kepada negara Malaysia dan rakyatnya supaya menerima sistem undang-undang Islam sebagai satu penyelesaian.

Private bill

Usaha membawa private bill ke parlimen hanya satu usaha kecil kita. Ia belum lagi ke tahap pelaksanaan hudud secara menyeluruh. Ia hanya satu usaha untuk memperbetulkan kepincangan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Agama-agama lain bebas diamalkan, sedangkan Islam tidak bebas dilaksanakan dengan sekatan seperti yang terkandung di dalam Akta 355 berkait dengan kuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman tidak lebih dari 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan sedangkan undang-undang Islam menetapkan 40 ke 80 sebatan bagi kes minum arak, 80 sebatan bagi kes qazaf dan 100 rotan bagi kesalahan zina.

Maka akta ini perlu dipinda bagi memberi laluan kepada sebahagian kecil undang-undang Islam untuk dilaksanakan. Bukan semua undang-undang Islam. Ia perjuangan yang masih panjang kerana untuk melaksanakan undang-undang Islam secara keseluruhannya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan perkara 76. Ia memerlukan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat sedangkan untuk meminda Akta 355 ini hanya memerlukan simple majoriti.

Kita tahu perangai Umno macam mana. Tapi kita tetap mengambil risiko membentangkan private bill ini dengan anggapan parlimen kita masih didominasi oleh ahli-ahli parlimen beragama Islam. Dan kita mengharapkan sokongan dari semua ahli parlimen beragama Islam sama ada dari PAS, Umno dan PKR.

Jika Umno sokong, tak perlulah kita tanya mereka ikhlas atau tak ikhlas. Ikhlas ini kerja Allah, bukan kerja kita. Dan jika mereka menipu dan cuba memperdayakan kita, kita tidak harus gentar kerana kita ada Allah, dan Allah menjanjikan kepada kita: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 62)

Mesyuarat agung kali ini adalah mesyuarat memilih pimpinan yang baru. Kepimpinan adalah amanah. Mereka adalah nakhoda yang  perlu meneruskan perjuangan ini berpandukan Al-Quran. Justeru pilihlah nakhoda yang pandai baca peta. Jangan pilih nakhoda yang tak tahu baca peta. Dan peta kita adalah Al-Quran

Petikan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau di Darul Hikmah pada 29 Mac 2015 yang dicatat oleh Aris Azlan.

Share on Myspace