PAS harap dapat sokongan ahli parlimen Islam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan majoriti mudah dengan mendapat sokongan ahli parlimen (MP) beragama Islam bagi meminda Akta 355  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini petang ini sebaik sahaja selesai Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

"Kita mengajak MP-MP beragama Islam khususnya yang mendukung dan menyokong usul ini tanpa mengira parti politik.

"Dan kita minta laluan kepada bukan Islam supaya meminda akta ini. Sebab itu kita perlu mereka bagi laluan atas semangat perlembagaan," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun telah membawa usul persendirian mengikut Peraturan Mesyuarat 49 untuk meminda satu Akta 355 Seksyen 2.

Katanya, seksyen itu kini hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam rotan kepada pesalah.

"Pindaan ini tidak melibatkan penambahan kesalahaan di bawah mahkamah syariah tetapi  menambah baik mengikut hukum syarak," katanya.

Justeru katanya, pindaan itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Rang Udang-undang Persendirian itu dijangka akan dibentangkan dalam sesi parlimen ini sebelum 9 April nanti.

Turut bersama dalam sidang media ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohamad pula memberitahu mesyuarat PAS Pusat hari ini hanya membincangkan soal pindaan Akta 355 langsung tidak menyentuh soal kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

"PAS kekal dalam Pakatan Rakyat," tegasnya sebaik ditanya pemberita berhubung perkara itu. - HARAKAHDAILY 30/3/2015

Share on Myspace