JK Tadbir kendali mesyuarat agung PAS Batu

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Tadbir bagi mengendalikan perjalanan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali jawatankuasa itu perlu dilantik kerana pada tahun ini ia melibatkan mesyuarat agung pemilihan.

Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sehingga selesai mesyuarat agung kawasan.

"Dari sudut jawatankuasa kawasan masih kukuh, jadi kita ambil keputusan kerana ada pemilihan kali ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mustafa juga berkata, pihaknya ada menerima surat daripada salah seorang ahli jawatankuasa PAS Batu Mohamad Nawi yang menafikan telah menandatangani surat peletakan jawatan bersama 17 ahli jawatankuasa yang lain.

"Dia ada bertemu saya, dan dia bagitahu dia tidak termasuk dalam 17 orang itu. Dia tidak pernah tandatangan surat perletakan jawatan seperti didakwa.

"Jadi hal ini bagi PAS ia memerlukan keputusan daripada PAS Pusat," katanya yang turut memberitahu penyiasatan itu masih berjalan.

Pada 16 Mac lalu, 17 ahli jawatankuasa PAS Kawasan Batu termasuk yang dipertua, Ishak Surin meletak jawatan serta-merta kerana mereka kecewa dengan sikap Presiden PAS. - HARAKAHDAILY 30/3/2015

Share on Myspace