Beku daftar PMRAM, fokus jayakan 4 resolusi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pembekuan pendaftaran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) adalah disebabkan proses penyelarasan Hal Ehwal Kemasyarakatan Mesir terhadap NGO-NGO yang berdaftar.

Presiden PMRAM, Hanifulfuad Hussin menyatakan demikian dalam satu kenyataan menerusi facebook persekutuan itu.

Ini berikutan pengumuman pembekuan PMRAM yang telah diumumkan beliau dalam Persidangan Khas PMRAM kelmarin, timbul pelbagai tanggapan dan persepsi dalam kalangan mahasiswa Malaysia Mesir mahupun lepasan-lepasan mahasiswa yang pernah menuntut di bumi Mesir.

"Ini adalah proses biasa yang dilakukan oleh mana-mana badan pendaftar. Adapun faktor yang lain kita sedang meneliti," ujarnya.

Lantaran itu, jelasnya segala aktiviti dan perjalanan gerak kerja di peringkat PMRAM akan diberhentikan bagi menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan untuk memastikan PMRAM terus bergerak selepas daripada ini.

Justeru, beliau menyeru kepada semua ahli dan pendukung PMRAM agar memfokuskan kepada menjayakan 4 resolusi yang telah dipersetujui dalam persidangan lepas.

Menurutnya, resolusi itu ialah menyerahkan kepercayaan kepada kepimpinan PMRAM bagi menyelesaikan masalah yang berlaku, bersama bersatu mempertahankan survival PMRAM di Badan Kebajikan Anak Negeri, memperkukuhkan agenda kesatuan dalam kalangan ahli melalui pemerkasaan sistem taakhi dan mengekalkan sistem pentadbiran PMRAM. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace