Tangkap: Kecewa kerajaan tidak hormati perlembagaan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar melahirkan rasa kecewa apabila Perlembagaan Persekutuan tidak dihormati lagi oleh kerajaan.

Katanya, tindak-tanduk kerajaan seolah-olah mencabar hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada warganegara.

"Baru-baru ini ramai di antara ahli-ahli parlimen ditahan oleh polis kerana terlibat dengan perhimpunan aman 'Kita Lawan'," ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya rasa sungguh kecewa apabila Perlembagaan Persekutuan tidak dihormati lagi oleh kerajaan.

Tindak-tanduk kerajaan seolah-olah mencabar hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada warganegara.

Baru-baru ini ramai di antara ahli-ahli parlimen ditahan oleh polis kerana terlibat dengan perhimpunan aman 'Kita Lawan'.

Perlembagaan Persekutuan memberi hak kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara kepada semua rakyat Malaysia apatah lagi kepada ahli-ahli parlimen.

Penangkapan dan penahanan ahli-ahli parlimen ini adalah penyalahgunaan kuasa yang melampau.

Ahli-ahli parlimen adalah wakil yang dipilih oleh rakyat dan mempunyai kekebalan tertentu yang dijamin oleh undang-undang negara.

Ahli-ahli parlimen diberi kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan.  Satu-satunya badan yang boleh mengecam seseorang ahli parlimen ialah Jawatankuasa Parlimen bagi Hak dan Kebebasan.

Kekebalan parlimen ini berkuatkuasa serta-merta apabila seseorang itu mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen.

Satu pindaan telah dibuat di bawah Perkara 63 Perlembagaan berikutan Peristiwa 13 Mei dengan penambahan Perenggan 4 yang menidakkan Fasal 2 Perlembagaan yang secara amnya memberikan hak-hak kebebasan asasi.

Perenggan 4 itu menerangkan bahawa sesiapapun termasuk ahli parlimen yang berucap di Dewan Rakyat boleh didakwa jika melakukan kesalahan di bawah Fasal 4 Perkara 10 atau di bawah Akta Hasutan 1948.

Selain itu ahli-ahli parlimen juga kehilangan hak-hak istimewanya jika menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja di negeri-negeri.

Baru-baru ini ahli-ahli parlimen ditangkap dan dilayan buruk oleh polis. Mereka dipaksa memakai pakaian banduan, berkaki ayam dan dimasukkan dalam lokap.

Mereka ini bukan penjenayah. Mereka hanya membela keadilan melalui proses demokrasi iaitu perhimpunan aman.

Adakah mereka ini wajar ditangkap dan dihina seperti itu?  

Mereka dengan rela hati  pergi ke balai polis apabila dipanggil untuk disoal siasat. Tetapi, mereka ditangkap dan dimasuk ke dalam lokap. Ini merupakan penyalahgunaan kuasa untuk meruntuhkan amalan demokrasi negara.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ditangkap kerana hujah-hujahnya di Dewan Rakyat.

Seseorang wakil rakyat mempunyai kekebalan apabila berucap di Parlimen. Ini adalah penting dalam konteks demokrasi berparlimen supaya wakil-wakil rakyat akan berani membawa apa jua isu yang melibatkan rakyat dan negara.

Walaupun ada  limitasi tertentu dalam perkara ini, tetapi kekangan itu tidak harus menggangu proses demokrasi dan hak wakil rakyat. Apa yang dihujah oleh Yang Berhormat Lembah Pantai itu tidak melanggar Fasal 4 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ataupun Akta Hasutan 1948.

Oleh yang demikian, pihak polis telah menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mengambil tindakan yang melampau terhadap beliau.

Selain daripada itu, penahanan YB Pandan Rafizi Ramli juga membuktikan pihak polis bertindak di luar bidang kuasa mereka. Polis telah menangkap Rafizi dan menghalang beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat pada hari ini.

Sekali lagi, ini merupakan penyalahgunaan kuasa polis terhadap wakil rakyat pembangkang. Polis telah menghalang wakil rakyat daripada  melaksanakan kewajiban ataupun tanggungjawab yang diamanatkan kepada beliau.

Kepercayaan rakyat terhadap institusi polis semakin luntur. Jika perkara ini tidak diperbetulkan dengan serta-merta maka negara kita akan menjadi sebuah negara polis.

Adakah ini yang menjadi aspirasi kerajaan Barisan Nasional?  

Jika bukan, maka tindakan segera harus diambil oleh kerajaan, memecat Ketua Polis Negara dengan serta merta untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan dan menjaga imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia. - HARAKAHDAILY 31/3/2105

Share on Myspace