Geramm: Tahan editor TMI usaha diamkan media

| .

KUALA LUMPUR: NGO Gerakan Media Marah (Geramm) mengutuk serbuan polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas pejabat portal berita The Malaysian Insider (TMI) petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, lebih 12 pegawai polis dan SKMM menyerbu pejabat TMI di Petaling Jaya dan menahan tiga pengarang kanannya.

Lionel Morais, Zulkifli Sulong dan Amin Shah Iskandar ditahan atas dakwaan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Sekysen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan telefon bimbit serta komputer mereka dirampas.

"Geramm menyifatkan penangkapan ini sebagai tindakan keterlaluan polis terhadap media.

"Kami menganggap tindakan itu suatu bentuk ugutan dan gangguan terhadap media serta suatu bentuk penyalahgunaan kuasa untuk mendiamkan media," kata Geramm dalam satu kenyataan hari ini.

Geramm menegaskan, walaupun ada laporan polis daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan kedaulatan serta kemuliaan institusi Raja-Raja kebebasan dipertahankan, media sebagai sebuah institusi di negara demokrasi di Malaysia juga perlu dipertahankan.

Media memainkan peranan sebagai wadah kepercayaan awam melalui penyaluran maklumat dalam keadaan ruang yang terbatas bagi isu kepentingan awam.

Oleh itu tegas Geramm, sebarang cubaan untuk menyekat fungsi media adalah satu pencabulan terhadap hak kebebasan bersuara.

"Jika polis atau pihak berkaitan mempunyai sebarang masalah, mereka boleh terus berhubung dengan organisasi media terbabit tanpa perlu melakukan kekasaran atau pencabulan hak sebegini.

"Geramm percaya hal ini boleh diselesaikan dengan pertemuan atau rundingan antara pihak terbabit kerana media sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa sebelum ini.

"Geramm turut mendesak pihak berkuasa menghentikan taktik menggunakan akta kuku besi seperti Akta Hasutan yang tidak selaras dengan piawaian antarabangsa," kata Geramm yang merupakan perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace